JOHOR BAHRU: Skuad ragbi Johor yang diundi dalam 'kumpulan maut' bersama juara bertahan Putrajaya, yakin dapat memberikan aksi terbaik untuk mencapai sasaran empat terbaik pada Kejohanan Ragbi Piala Agong bermula 23 Sept ini.

Pengurus pasukan Hamrizal Hamdan berkata persediaan rapi telah dilakukan termasuk mengadakan perlawanan percubaan dengan tiga pasukan tempatan antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Tiga perlawanan percubaan dilakukan sebelum ini untuk mengukur kekuatan pasukan selain mendapatkan kesesuaian dengan corak permainan.

"Kempen tahun ini kita dalam kumpulan maut, tetapi pemain akan buat yang terbaik bagi mencapai sasaran empat terbaik," katanya kepada pemberita di Karnival Ragbi Johor 2023 yang disertai 96 pasukan sekolah di Stadium Ragbi Johor semalam.

Menurut Hamrizal, seramai 40 pemain telah disenarai pendek dengan kebanyakannya terdiri daripada pemain pelapis bagi menghadapi kempen kejohanan kali ini.

"Majoriti pemain adalah pemain muda dalam usia 19 hingga 21 tahun daripada program pembangunan rabgi di Johor. Harapan kami pemain buat yang terbaik," katanya.

Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi lepas menyaksikan Putrajaya muncul juara selepas menewaskan Terengganu, manakala Polis Diraja Malaysia di tempat ketiga dan ATM keempat.

Johor menjuarai kejohanan itu sebanyak dua kali, masing-masing pada 2013 dan 2017.

-- BERNAMA