KUALA LUMPUR: Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, menjadi saksi gemilang pasukan Malaysia menamatkan badi berdepan Thailand di kejohanan Piala Dunia ISTAF, sebentar tadi.

Skuad regu negara membariskan pemain berpengalaman seperti Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias untuk menampilkan sebuah permainan berkualiti menentang skuad Gajah Putih yang diketuai oleh pemain handalan, Poramet Siriwat.

Anak buah kendalian Jais Baharun mendominasi set pertama selepas ketajaman tekong negara melakukan servis padu untuk mengutip mata demi meletakkan Malaysia selesa di depan.

Pujian juga harus diberikan kepada anak didik Prawet Intra kerana terus memberikan asakan mata demi mata selain ingin merapatkan jurang permainan.

Masuk kepada babak kedua perlawanan, pasukan Thailand menampilkan corak permainan yang merbahaya mengekor rapat setiap mata dan mencuba untuk mendahului pemainan.

Pasukan negara seakan tidak mempunyai perasaan gentar apabila terus mengumpul mata berharga sambil dibantu oleh sorakan hangat peminat tempatan yang membanjiri stadium keramat itu.

Malaysia menjuarai acara regu dengan kemenangan bergaya sekali gus menjuarai kejohanan tersebut di tempat sendiri.