KUALA LUMPUR: Penyokong dan rakyat Maghribi di Malaysia tidak ketinggalan meraikan kejayaan pasukan mereka meraih kemenangan 1-0 ke atas Portugal dalam perlawanan suku akhir, pada awal pagi Ahad.

Atlas Lions menjaringkan gol pada minit ke-42 menerusi tandukan Youssef En-Nesyri dan mengekalkan kedudukan itu sehingga tamat permainan walaupun Walid Cheddira dilayangkan kad merah.

Dengan kemenangan tersebut, Maghribi mencatat sejarah apabila menjadi pasukan Afrika pertama yang mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Dan di Bukit Bintang, peminat pasukan itu yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat Maghribi, tidak ketinggalan meraikannya dengan cara tersendiri.

Bukan dengan nyalaan suar atau bunga api, sebaliknya kejayaan itu diiringi dengan alunan nasyid dan nyanyian Tala‘ al-Badru ‘Alaynā sebagai tanda kesyukuran.



LAMAN MIKRO PIALA DUNIA FIFA 2022 DI SINI

Video keraian itu dikongsi seorang pengguna TikTok dengan nama pengguna @jeppwaksalam.

Selain itu, satu hantaran media sosial oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung juga menarik perhatian, tentang bagaimana salah satu punca kejayaan pasukan itu mungkin hasil doa dari 'syurga'- mereka.

"Jikalau pasukan lain menang, kebiasaannya mereka akan raikan bersama penyokong atau WAGs (pasangan) mereka.

"Namun jikalau sahabat perasan, beberapa pemain serta jurulatih mereka akan meraikan bersama ibu mereka.

"Mereka tidak sesekali merasa malu memeluk dan mencium ibu mereka tanda terima kasih di atas doa serta sokongan mereka," tulis Firdaus di Facebook.

BACA: Aksi pemain Maghribi Achraf Hakimi kucup ibu tarik perhatian dunia

Terdapat khabar sebelum ini yang menyatakan jurulatih Maghribi sendiri meminta pemain membawa ibu masing-masing ke stadium kerana berpendapat ibu adalah 'tonik' terbaik yang mendorong pemain bermain dengan sehabis baik.

Maghribi akan menentang Perancis di peringkat separuh akhir, Khamis depan.