LAUTARO MARTINEZ menjaringkan dua gol ketika finalis Liga Juara-Juara, Inter Milan, bangkit daripada ketinggalan mengatasi Fiorentina 2-1 untuk mempertahankan gelaran Piala Itali, awal pagi tadi.

Inter ketinggalan menerusi jaringan pembukaan Nicolas Gonzalez di Stadio Olimpico, namun dua jaringan Martinez dalam separuh masa pertama sudah cukup untuk melengkapkan kebangkitan mereka untuk dinobat sekali lagi sebagai juara.

Ia merupakan gelaran Piala Itali yang kesembilan buat Inter. Hanya Juventus, dengan 14 gelaran, memenangi gelaran itu lebih banyak.

“Saya sangat gembira kerana kami telah memenangi trofi bersama kelab hebat ini sejak dua tahun lalu.

"Kami perlu meneruskan momentum ini, kami benar-benar mahu memenangi perlawanan ini. Kami bermula dengan teruk dalam 15 minit pertama tetapi kemudian kami melakukan apa yang sepatutnya kami lakukan," kata Martinez.

Pemenang enam kali Fiorentina dinafikan trofi pertama sejak 2001, tetapi kelab itu masih boleh menamatkan musim dengan trofi setelah mara ke final Liga Persidangan Europa.

Mereka menentang West Ham di Prague pada 7 Jun, tiga hari sebelum Inter menentang juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Istanbul.

"Kami perlu mengecas semula bateri kami untuk Prague. Kami perlu pergi ke sana bersama-sama yakin bahawa kami boleh membawa pulang trofi," kata jurulatih Fiorentina, Vincenzo Italiano. -- Stadium Astro