Selepas dikecewakan Selangor di final Piala Malaysia musim lalu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe kini bagaikan mendapat peluang kedua selepas berjaya mengatasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, Melaka, dengan agregat 2-1 sekaligus mara ke final buat kali kedua berturut-turut.

Bertandang ke Melaka, Kedah enggan selesa dengan bekalan 2-1 dikutip di Stadium Darulaman.

Kedah mula mengorak langkah dengan melancarkan serangan menerusi pergerakan Liridon Krasniqi, Baddrol Bakhtiar dan Thiago Augusto Fernandez.

Kedua-dua pasukan memulakan aksi dengan berhati-hati sehinggalah memasuki minit ke-20.

Kedah berpeluang berada di depan menerusi Baddrol Bakhtiar namun sepakan percumanya berjaya di tepis penjaga gol PDRM.

PDRM mendapat peluang terhidang menerusi percubaan Christopher Kelly namun rembatannya tersasar meskipun berada kurang lima meter dari gawang.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan meskipun melancarkan beberapa asakan.

Keputusan 0-0 kekal hingga tamat perlawanan yang jelas membawa kelegaan buat pengendali Lang Merah, Tan Cheng Hoe yang mahu melihat anak buahnya beraksi di final buat kali kedua berturut-turut.

Dalam perkembangan lain, Selangor turut mara selepas berjaya melakar kemenangan 3-0 ke atas T-Team untuk menang dengan agregat 5-1.

Anak buah K.Gunalan yang turun dengan bekalan 2-1 di Shah Alam tampil lebih garang di laman lawan.

Tiga gol Red Giants disumbangkan oleh R. Gopinanthan (min-2), Ugo Ukah (min-18) dan Andik Vermansyah (min-90).

Pertemuan kedua pasukan ini merupakan pengulangan kepada final musim lalu apabila Selangor muncul juara dengan kemenangan 2-0 ke atas Kedah hasil jaringan dua gol oleh Hazwan Bakri.