KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin melantik sembilan individu yang berbeza latar belakang bagi menganggotai Pasukan Petugas Khas Presiden (PTF).

Pelantikan itu dinyatakan Hamidin pada Kongres FAM ke-57 dan diluluskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Mac lepas, demikian menurut kenyataan badan induk itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, PTF berhasrat memberi peluang kepada individu bukan dari persatuan bola sepak negeri (FA) untuk menyumbang idea membantu presiden merencanakan hala tuju FAM.

Mereka yang dipilih terdiri daripada kalangan peneraju korporat, syarikat berkaitan kerajaan, pengamal undang-undang, ahli akademik, penyokong bola sepak, media dan kerabat diraja.

"Dalam mengumpul maklumat sebagai usaha mencanai idea-idea baharu yang bernas, PTF diberi hak untuk mengadakan sesi perbincangan dengan pemegang taruh industri bola sepak," menurut kenyataan itu.

Antara sembilan ahli PTF ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Berjaya Corporation Bhd (BCorp) Abdul Jaleel Abdul Rasheed, Tengku Indera Bijaya Diraja Selangor Tengku Salehuddin Shah Alhaj Tengku Sulaiman Shah Alhaj dan bekas Pesuruhjaya Sukan Dr Wirdati Mohd Radzi.

Turut dilantik Datuk Ruzain Idris, Khairul Kamarudin, Dr Mohd Bahrin Othman, Muhammad Tarmizi Abdul Aziz, Profesor Dr P. Sivamurugan dan Ooi Kin Fai.

Sementara itu, FAM berkata penubuhan PTF melambangkan kesediaan mereka mengambil kira pendapat semua lapisan peminat, penyokong dan masyarakat ke arah memajukan lagi sukan bola sepak.

"Jumlah ahli yang menganggotai PTF boleh ditambah atau dikurangkan pada bila-bila masa mengikut kesesuaian dan budi bicara presiden," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA