SPORTS
Prestasi skuad sepak takraw membanggakan, berpotensi jadi juara - Hannah

Hannah menghargai usaha Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam mencungkil bakat baharu melalui pelbagai program pembangunan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hari ini menyifatkan prestasi skuad sepak takraw negara sebagai membanggakan dan berpotensi merampas gelaran juara acara regu berpasukan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia akan datang.
Ringkasan AI
- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memuji prestasi skuad lelaki dan wanita negara dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, walaupun tewas kepada Thailand di final acara regu berpasukan.
- Hannah menghargai usaha Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam mencungkil bakat baharu melalui pelbagai program pembangunan, dan yakin Malaysia mampu merampas gelaran juara pada masa akan datang.
- Tiada cadangan untuk membina stadium baharu buat masa ini kerana fasiliti di Stadium Jalan Raja Muda (SJRM) yang dikendalikan PSM dianggap mencukupi sebagai pusat latihan dan pembangunan sepak takraw negara.
"Jadi saya tahu pasukan kita sudah melakukan yang terbaik. Bukan sahaja pasukan lelaki, tetapi pasukan wanita juga," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kerjasama Strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.
Hannah turut memuji usaha Persatuan Sepak Takraw (PSM) yang berjaya melaksanakan pelbagai program pembangunan bakat bagi mencungkil muka baharu dalam sukan itu.
"Saya kira dengan lebih banyak lagi pendedahan seperti ini, bila kita jadi hos, ramai lagi pemain kita boleh mengikuti. Saya percaya satu hari nanti, kita boleh menang piala itu," katanya
Pada aksi final Piala Asia 2025, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan kedudukan naib juara bagi acara regu berpasukan selepas tewas 0-2 kepada Thailand.
Regu pertama negara Amirul Zazwan Amir (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) kalah 11-15 pada set pertama, tetapi bangkit 15-12 sebelum kecundang 15-17 dalam pertarungan penuh debar.
Regu kedua yang dianggotai Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin pula sekadar menang set pertama 15-13, sebelum dikecewakan 13-15 dan 4-15 oleh trio Thailand Sittipong Kamchan, Tanaphon Sapyen dan Sirisak Anuloon.
Ditanya sama ada KBS berhasrat membina stadium khusus untuk sepak takraw, Hannah berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang cadangan, sebaliknya berkata fasiliti sedia ada di Stadium Jalan Raja Muda (SJRM), Kampung Baru sudah memadai untuk dimanfaatkan pasukan negara.
"Tempat ini diuruskan oleh PSM dan setakat ini mereka kata tempat itu memadai untuk akademi mereka. Mereka gembira kerana lokasi ini, berdekatan dengan Stadium Titiwangsa dan sesuai untuk mereka," katanya.
Media sebelum ini melaporkan SJRM dikendalikan sepenuhnya oleh PSM sebagai Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia, sekali gus menjadi hab pembangunan sukan tradisi itu di peringkat akar umbi dan elit.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami