SPORTS
Real Madrid terus himpit Barcelona

Mbappe meraikan jaringan kedua Real Madrid ketika melayan kunjungan Celta Vigo dalam aksi La Liga di Santiago Bernabeu. - Foto AP
REAL Madrid berjaya memadamkan kebangkitan Celta Vigo dengan kemenangan 3-2 di Stadium Santiago Bernabéu pada Ahad, sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu La Liga, Barcelona, kepada hanya empat mata menjelang pertembungan El Clasico hujung minggu depan.
Skuad kendalian Carlo Ancelotti membuka jaringan pada minit ke-33 apabila sepakan penjuru pendek Arda Guler menewaskan penjaga gol Celta, Vicente Guaita.
Kylian Mbappe kemudian menggandakan kelebihan tuan rumah enam minit kemudian dengan penyudah padu melepasi Guaita selepas serangan balas pantas Madrid.
Penyerang Perancis itu sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring tiga minit selepas babak kedua bermula, kali ini memanfaatkan hantaran Guler.Namun, pelawat tidak menyerah kalah dan Javi Rodriguez berjaya merapatkan jurang pada baki 20 minit permainan dengan rembatan jarak dekat.
Permulaan awal Real yang tampak seakan meraih kemenangan selesa bertukar tegang apabila hantaran legenda Celta, Iago Aspas, disempurnakan pemain gantian Williot Swedberg pada minit ke-76, menjadikan kedudukan 3-2.
Pablo Duran hampir menyamakan kedudukan dua minit kemudian selepas menerima Aspas, tetapi penjaga gol tuan rumah, Thibaut Courtois, berjaya menyelamatkan keadaan.
Ketika Los Celestes terus menekan untuk mencari gol penyamaan, Los Blancos berjaya bertahan untuk meraih tiga mata penting.
Real yang merupakan juara bertahan akan bertandang ke Barcelona pada Ahad depan dengan keyakinan kemenangan liga kelima berturut-turut meletakkan mereka hanya satu mata di belakang musuh tradisi dengan baki tiga perlawanan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami