KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menempah slot ke peringkat suku akhir Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2023 di Spokane, Amerika Syarikat selepas muncul juara Kumpulan C apabila menewaskan England 5-0 pada Rabu.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia akan berhadapan dengan juara Kumpulan D iaitu India pada aksi suku akhir lewat hari ini, sekali gus menebus kekalahan di peringkat kumpulan pada edisi tahun lepas di Santander, Sepanyol.

Pada perlawanan terakhir Kumpulan C yang diadakan di The Podium, pasukan negara mencatat kemenangan pertama menerusi beregu campuran, Low Han Chen-Chan Wen Tse yang mengalahkan Oliver Butler-Chloe Dennis 21-16, 21-17 dalam tempoh 28 minit.

Didorong dengan kemenangan Han Chen-Wen Tse, pemain perseorangan lelaki Eogene Ewe mempamerkan keberanian untuk mengatasi Michael Pang, 21-6, 21-9 bagi menyumbang mata kedua buat Malaysia.

Namun, perseorangan wanita Siti Zulaikha Muhammad Azmi terpaksa bangkit selepas ketinggalan untuk menewaskan Leona Lee, 16-21, 21-18, 21-10, mencatatkan mata kemenangan seterusnya buat negara manakala beregu lelaki Bryan Jeremy Goonting-Aaron Tai berjaya memberikan mata keempat apabila menundukkan Robin Harper-Harry Wakefield, 21-12, 21-10.

Kemenangan straight set oleh gandingan wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting terhadap Lucy Brierley-Tashvi Parab, 21-11, 21-9 pada aksi final melengkapkan kemenangan bagi Malaysia.

Pada Isnin, Malaysia memulakan kempen Kumpulan C dengan bergaya selepas menundukkan Poland 4-1 pada perlawanan pembukaan, diikuti kemenangan 5-0 menentang Austria dan satu lagi kejayaan 5-0 terhadap Latvia pada Selasa.

Pada edisi lepas, Malaysia menamatkan saingan berpasukan campuran di tempat kesembilan selepas menewaskan Denmark 4-1.

Lebih menyedihkan apabila buat kali pertama, tiada wakil negara layak ke suku akhir acara perseorangan di Sepanyol.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam kejohanan itu adalah pada edisi 2018 di Kanada apabila Goh Jin Wei muncul juara perseorangan wanita manakala Pearly Tan-Toh Ee Wei membawa pulang perak bagi acara beregu wanita.

-- BERNAMA