KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky kecewa apabila kedua-dua wakil negara tidak memanfaatkan peluang untuk menang perlawanan pertama peringkat kumpulan pada aksi Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2023 di Hangzhou, China.

Beliau berkata beregu lelaki utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sepatutnya menang permainan pembukaan yang mungkin boleh membuka peluang mereka untuk melangkah ke separuh akhir.

Mengulas prestasi Aaron-Wooi Yik, Rexy berkata beliau kurang berpuas hati dengan corak permainan juara dunia 2022 itu yang dilihat perlahan dan terlalu bertahan tanpa serangan berbisa.

"Saya lihat Aaron-Wooi Yik bermain perlahan, permainan terlalu defensif, tiada perubahan smash yang menyengat, jadi semua itu tidak kena bagi saya," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sini hari ini.

Aaron-Wooi Yik mengakhiri kempen keempat mereka dalam kejohanan berkenaan di tempat tercorot Kumpulan A selepas tewas kesemua perlawanan peringkat kumpulan.

Mereka tumpas kepada pasangan Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 16-21, 14-21 pada Selasa, diikuti tewas kali kedua kepada wakil tuan rumah Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, 21-19, 18-21, 20-22 dan menutup aksi mereka tanpa sebarang kemenangan selepas tunduk kepada satu lagi pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-18, 14-21, 12-21 semalam.

Mengenai persembahan Tang Jie-Ee Wei, pakar beregu dari Indonesia itu tanpa berselindung menyifatkan permainan pasangan beregu campuran itu sangat teruk dan seolah-olah hilang idea ketika tumpas kepada pasangan keempat dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 10-21, 13-21, pada aksi pembukaan Kumpulan A.

"Ee Wei ada pemikiran sendiri, Tang Jie ada pemikiran sendiri, jadi mereka main bukan sebagai pasangan beregu, tetapi ini saya kritik mengenai perlawanan pertama mereka.

"Kalau perlawanan kedua dan ketiga, persembahan sangat baik kecuali semalam sayang sekali mereka tidak dapat mencuri peluang kerana pada set ketiga itu paling nampak Ee Wei tiada stamina, dan Tang Jie bingung nak main apa," katanya.

Selepas dikecewakan pada perlawanan pertama, Tang Jie-Ee Wei berjaya menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas mengejutkan pasangan utama dari Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashino, 12-21, 21-16, 21-16, namun gagal mengekalkan momentum apabila tumbang di tangan wakil Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-18, 18-21, 14-21.

Keputusan perlawanan tersebut meletakkan Tang Jie-Ee Wei pada kedudukan paling bawah Kumpulan A, sementara wakil Thailand di tangga ketiga di belakang Watanabe-Higashino.

Pasangan tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping menduduki tangga teratas dengan tiga mata selepas merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut, kali ini dengan menewaskan Watanabe-Higashino, 21-16, 19-21, 21-17.

Walaupun ketiga-tiga beregu itu berkongsi satu mata tetapi Watanabe-Higashino layak ke separuh akhir bersama beregu China itu kerana mempunyai perbezaan perlawanan yang lebih baik dalam peringkat kumpulan.

-- BERNAMA