KUALA LUMPUR: Penyerang import Romel Morales akhirnya berjaya menemui sentuhan penyudah musim ini apabila meledak dua gol bagi membantu Kuala Lumpur (KL) City FC mengatasi Sabah FC 2-0, sekali gus mencalar rekod tiga perlawanan tanpa kalah pelawat dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini malam tadi.

Sabah FC nyaris berada di depan pada minit ke-14 namun rembatan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar dinafikan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza sebelum Romel menceriakan penyokong tuan rumah apabila menanduk masuk jaringan pertama liga musim ini, hasil daripada sepakan percuma Paolo Josue pada minit ke-36 dan kedudukan itu kekal sehingga babak pertama tamat.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat yang meningkatkan tempo permainan hampir menjaringkan gol penyamaan namun tandukan Baddrol sedikit tersasar di sebelah kiri gol lawan pada minit ke-54.

'Sang Badak' terus buntu merobek gawang skuad warga kota apabila Kevin bertindak cemerlang menggagalkan dua percubaan berbahaya berturut-turut, masing-masing oleh penyerang Jepun, Taiki Kagayama disusuli pemain gantian, Nazirul Naim Che Hashim, pada minit ke-67.

Bagaimanapun, Romel menjadi duri dalam daging buat pasukan kendalian bekas Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, apabila mudah menolak masuk jaringan keduanya dua minit sebelum perlawanan tamat, untuk membantu anak buah Bojan Hodak merakam kemenangan kedua liga selepas lima perlawanan musim ini.