Pelumba Team Dimension Data, Ryan Gibbons dari Afrika Selatan muncul pemenang keseluruhan kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 yang berakhir di sini hari ini.

Walaupun tamat di tempat keempat pada peringkat akhir (peringkat kelapan) yang melibatkan jarak sejauh 112km daripada Setiawangsa hingga Putrajaya hari ini, namun pelumba berusia 22 tahun ini memenangi jersi kuning dengan memungut mata terkumpul 29 jam 04 minit dan 57 saat.

Gibbons turut merangkul jersi Raja Bukit dengan mengumpul 75 mata, diikuti pelumba UnitedHealthCare Pro Cycling Team, Travis McCabe dari Amerika (62 mata) dan pelumba Itali Jakub Mareczko di tempat ketiga dengan 54 mata.

Bagi rekod, Gibbons merupakan pelumba keempat daripada Afrika Selatan yang merangkul Jersi Kuning selepas mendiang Ryan Cox daripada pasukan Barloworld yang dibubar, pada 2005, David George dari pasukan kebangsaan Afrika Selatan (2006) dan Reinardt Janse Van Rensburg dari Team Dimension Data, tahun lalu.

McCabe menang peringkat akhir hari ini, diikuti pelumba Australia, Anthony Giacoppo yang mewakili IsoWhey Sports SwissWellness di tempat kedua sementara pelumba Itali, Riccardo Stacchiotti dari Nippo Vini-Fantini di tempat ketiga.

Ketua pengadil Ibrahim Omar memberi mata yang sama 2 jam dan 39 minit kepada kesemua 10 pelumba teratas yang tiba di garisan penamat secara berkumpulan. -- Bernama