"Saya pengurus Manchester United, bukan sekadar jurulatih" - Amorim

Amorim menolak spekulasi mengenai kedudukannya di Manchester United, sambil menegaskan beliau hadir sebagai pengurus dengan kuasa penuh, bukan sekadar jurulatih yang menerima arahan. - Gambar Reuters
MANCHESTER: Ruben Amorim tampil dengan kenyataan tegas pada Ahad, menolak spekulasi mengenai kedudukannya di Manchester United, sambil menegaskan beliau hadir sebagai pengurus dengan kuasa penuh, bukan sekadar jurulatih yang menerima arahan.
Amorim kelihatan muram pada Jumaat ketika membincangkan isu perpindahan pemain dan semakin berang apabila ditanya sama ada beliau masih mendapat kepercayaan lembaga kelab.
Jurulatih berusia 40 tahun itu pantas memintas soalan wartawan dengan menempelak “maklumat terpilih” sebelum mempertahankan kedudukannya.
“Saya datang ke sini sebagai pengurus Manchester United, bukan jurulatih Manchester United dan itu jelas,” kata Amorim selepas keputusan seri 1-1 menentang Leeds United.
“Saya tahu nama saya bukan (Thomas) Tuchel, bukan (Antonio) Conte, bukan (Jose) Mourinho, tetapi saya pengurus Manchester United. Ia akan kekal begini selama 18 bulan atau sehingga lembaga memutuskan untuk menukar.”
‘Saya tidak akan letak jawatan’
Amorim turut menegaskan, beliau tidak akan meninggalkan Old Trafford, sambil berulang kali menekankan kuasa pengurusannya.
“Itu maksud saya. Saya mahu tamatkan spekulasi ini. Saya tidak akan berhenti,” katanya.
“Saya akan lakukan tugas saya sehingga orang lain datang menggantikan saya.”
Apabila terus ditekan mengenai jaminan terhadap peranan mengurus pasukan, Amorim sekali lagi menegaskan pendiriannya.
“Saya hanya mahu katakan bahawa saya akan menjadi pengurus pasukan ini, bukan sekadar jurulatih. Dan saya sudah jelaskan perkara itu,” katanya.
“Dan ia akan berakhir dalam 18 bulan, kemudian semua orang akan bergerak ke hadapan. Itu perjanjian. Tugas saya bukan sekadar menjadi jurulatih.”
Amorim turut menyindir kritikan luar, dengan menyatakan kelab perlu berubah jika tidak mampu menangani komen daripada penganalisis seperti bekas pemain United, Gary Neville.
“Jika orang tidak boleh terima Gary Neville dan kritikan terhadap segala perkara, kita perlu ubah kelab,” katanya, sebelum mengulangi mesej utamanya.
“Saya hanya mahu katakan bahawa saya datang ke sini untuk menjadi pengurus Manchester United, bukan jurulatih. Dan setiap jabatan – jabatan pencarian bakat, pengarah sukan – perlu lakukan tugas mereka.
“Saya akan lakukan tugas saya selama 18 bulan dan kemudian kita bergerak ke hadapan,” ulang beliau sekali lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


