Juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor bakal berentap dengan Juara Liga Perdana, Kedah pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 12 Dis ini.

Dua pasukan berkenaan mara ke final setelah menewaskan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir kedua, malam ini.

Selangor yang memburu gelaran ke-33, melakar kejutan selepas menundukkan juara bertahan, Pahang menerusi kemenangan 2-0 di Stadium Shah Alam untuk mara menerusi keputusan agregat 2-0.

Kedah yang membuat penampilan final Piala Malaysia kali ke-11, menang tipis 2-1 ke atas Felda United pada satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Darul Aman, Alor Setar, sekali gus mara menerusi keputusan agregat 4-3.

Di SHAH ALAM, kehadiran hampir 50,000 penyokong Merah Kuning ternyata menaikkan semangat pemain Selangor untuk memburu jaringan dan hasilnya, pemain import dari Brazil, Guilherme De Paula meletakkan mereka di hadapan seawal minit ke-10 setelah menerima hantaran daripada Muhd Nazmi Faiz Mansor.

Keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, pengendali Pahang Zainal Abidin Hassan membuat beberapa pertukaran pemain untuk memburu jaringan penyamaan, namun sebaliknya Selangor menggandakan jaringan menerusi percubaan cantik dari dalam kotak penalti Muhd Nazmi Faiz pada minit ke-53 dan keputusan itu kekal sehingga perlawanan tamat.

Penjaga gol Selangor, Norazlan Razali dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan berkenaan.
Kedua-dua pasukan sebelum ini seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 2 Dis lepas.

Di Alor Setar, jaringan menarik penyerang import dari Brazil, Sandro Da Silva menerusi sepakan percuma pada minit ke-50 membantu Kedah mengalahkan Felda United 2-1, sekaligus menggembirakan 30,000 penyokong Hijau Kuning yang membanjiri Stadium Darul Aman.

Pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan skuad Helang Merah menerusi jaringan Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-38 selepas menerima hantaran dari Thiago Augusto Fernandes.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila penyerang import dari Nigeria, Chidi Edeh menyamakan kedudukan untuk Kedah, selang lima minit kemudian setelah menerima hantaran lintang daripada Baddrol Bakhtiar yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Felda United sebelum itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Indra Putra Mahayuddin diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan, Muhammad Zamzaidi Katimin pada minit ke-60 selepas dilayangkan kad kuning kedua.

Upacara bertafakur selama seminit diadakan di kedua-dua venue perlawanan bagi menghormati kemangkatan Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.

Tunku Abdul Malik, 86, mangkat pada 29 Nov lepas akibat kegeringan manakala Tunku Abdul Jalil, 25 mangkat pada Sabtu akibat kanser hati.