PASUKAN Selangor akan kembali beraksi di gelanggang keramat mereka, Stadium Shah Alam, pada April nanti.

Demikian pengesahan pengurus pasukan Selangor, Aminuddin Shaari yang hadir bagi meninjau perkembangan stadium itu yang sedang dibaik pulih sejak Januari lalu.

Aksi sulung Red Giants musim ini di Shah Alam dijangka membabitkan pertemuan Liga Super dengan Kedah pada 5 April nanti.

Menurut Aminuddin, stadium yang di bawah pengurusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menggunakan rumput jenis cowgrass yang menelan belanja sebanyak RM200,000.

Proses baik pulih yang menelan belanja keseluruhan RM2.4 juta itu turut membabitkan 500 bumbung rosak akibat ribut, menaik taraf tandas, bilik persalinan pemain, baik pulih sistem siar raya, set janakuasa dan juga lampu limpah.

"Kami menggantikan tanah di lapisan bawah dan memasang material tertentu.

"Proses baik pulih sebahagian Stadium Shah Alam adalah bagi melangsungkan perlawanan antarabangsa 2017," katanya.

Proses penanaman rumput itu giat dijalankan sehingga malam dan siap sepenuhnya pada 19 haribulan, sebelum dipersiapkan tiga minggu bagi kegunaan perlawanan.

"Selepas tiga hari sahaja rumput di sebelah kanan ditanam, saya lihat ia sudah kuat. Jadi saya rasa ia akan mengambil masa enam atau tujuh hari untuk betul-betul kuat sebelum direhatkan untuk perlawanan.

Selepas sembilan perlawanan kompetitif musim 2016, Selangor hanya sempat bermain di laman sendiri menentang Sarawak dalam aksi Liga Super dan Tampines Rovers.