KANGAR: Skuad sepak takraw Perlis meletakkan sasaran dua pingat tanpa mengira warna pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi Kuala Lumpur 2022 yang dijangka berlangsung pada pertengahan tahun ini.

Jurulatihnya Samransgunmeesombat, 45, berkata beliau tidak mahu meletakkan sebarang warna pingat, namun percaya bahawa anak didiknya mampu membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat di temasya itu.

"Saya dapat lihat prestasi pemain Perlis semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hasil usaha tekun yang ditunjukkan oleh barisan pemain.

"Jika dibandingkan daripada dahulu prestasi mereka jauh berbeza dan mereka telah bersedia untuk menghadapi cabaran di SUKMA nanti," kata jurulatih yang berasal dari Thailand itu kepada Bernama menerusi penterjemah, selepas sesi latihan di Dewan Serbaguna Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis di sini, malam tadi.

Katanya, sandaran pingat utama diletakkan pada pasangan kembar Muhammad Shaharil Aiman Halim dan Muhammad Shaharil Aimin Halim.

Sementara itu, Muhammad Shaharil Aiman, 20, berkata beliau yakin dapat menyumbang pingat untuk Perlis sekiranya dipilih bergandingan bersama kembarnya Muhammad Shaharil Aimin.

"Insya-Allah jika ada rezeki dan terpilih bermain bersama abang (Muhammad Shaharil Aimin), saya akan buat yang terbaik bagi mendapatkan pingat untuk Perlis nanti," kata anak jati Tambun Tulang, Arau itu.

-- BERNAMA