JOHOR BAHRU: Skuad hoki bawah 21 tahun negara mengalami kekalahan kali ketiga berturut-turut selepas tewas 1-3 dengan Afrika Selatan pada perlawanan hari ketiga Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya di sini, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Muhammad Amin Rahim kekal di tangga tercorot.

Suku pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu menghasilkan jaringan sebelum Afrika Selatan berjaya meledak gol pertama menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Calvin Davis pada minit ke-23.

Namun, skuad negara bangkit menyamakan kedudukan selang seminit kemudian pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Amirul Haniff Mamat.

Afrika Selatan, selaku pendatang baharu ke kejohanan itu, mencetak gol kedua menerusi gol padang Marvin Simons pada minit ke-35 diikuti gol kemenangan pelawat pada minit ke-53 menerusi jaringan padang Cameron Le Forestier.

Perlawanan yang sepatutnya bermula jam 8.35 malam terpaksa ditangguhkan 25 minit kerana hujan lebat ketika perlawanan Great Britain dan Australia, petang tadi.

Malaysia berputih mata selepas gagal meraih sebarang mata apabila dikecewakan 0-8 kepada Australia pada perlawanan hari kedua SOJC Ahad lepas dan tewas di tangan India 2-5 pada aksi pembuka tirai Sabtu lalu.

Terdahulu, Australia mengatasi Great Britain 3-1 manakala India mengalahkan Jepun 5-1.



Jadual Esok:

India mln Australia - 4.05 petang

MALAYSIA mln Great Britain - 6.05 petang

Afrika Selatan mln Jepun - 8.35 malam.

-- BERNAMA