JOHOR BAHRU: Kegagalan beberapa pemain beraksi tidak mengikut perancangan, merupakan antara faktor skuad remaja negara tumpas 4-7 kepada Great Britain, dalam aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya di sini malam tadi.

Ketua jurulatih skuad Young Tigers Muhamad Amin Rahim berkata keadaan itu, menyebabkan pasukan bimbingannya memberi ruang kepada pasukan lawan untuk menjaringkan banyak gol dalam perlawanan tersebut.

"Kita sudah buat perancangan terbaik untuk perlawanan hari ini (semalam) cuma ada beberapa keadaan pemain kita tidak mengikut apa dirancang...kalau kita lihat pasukan Great Britain menjaringkan banyak gol padang.

"Pada perlawanan sebelum ini, biasanya (jaringan) lawan daripada pukulan sudut penalti dan gol padang tetapi malam ini (semalam) sangat jelas kita nampak banyak gol padang daripada mereka. Keadaan ini kita kena betulkan," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Muhamad Amin berkata keadaan itu akan diberi penekanan terutama dari aspek pertahanan menjelang persediaan menghadapi saingan Piala Remaja Dunia 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, bulan depan.

Pada Piala Remaja Dunia itu, skuad Young Tigers diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Argentina, Australia dan Chile dengan sasaran awal mara ke suku akhir.

Untuk rekod, ini kali kedua Malaysia diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah selepas buat kali pertamanya menganjurkan kejohanan pada 1982, yang menyaksikan negara menamatkan saingan di tempat keempat.

Mengenai persiapan menentang Afrika Selatan bagi penentuan tempat ketujuh dan kelapan, Muhamad Amin memberitahu setiap pemain perlu kekal fokus dan mengikut perancangan untuk memastikan Malaysia tidak berada di tempat tercorot.

Malaysia yang mengalami kekalahan dalam kesemua empat perlawanan pada kejohanan tersebut, akan menentang Afrika Selatan bagi penentuan tempat ketujuh dan kelapan pada 3.50 petang ini.

-- BERNAMA