JOHOR BAHRU: India membuktikan keampuhannya selepas berpesta gol membenam New Zealand 6-2 dalam aksi terakhir kumpulan B pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, di sini malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan India mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan dengan tujuh mata, Pakistan di tangga kedua dengan empat mata dan New Zealand mengumpul tiga mata untuk menduduki tempat ketiga.

Pasukan negara terperuk di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Terdahulu, India yang tampil dengan status juara bertahan, bermula garang apabila merobek gawang pasukan Black Sticks dengan dua gol pukulan sudut penalti Lakra Amandeep seawal minit kedua dan ketujuh permainan.

Juara tiga kali SOJC di bawah kendalian C.R Kumar itu seterusnya meraih jaringan ketiga menerusi gol padang pukulan Arun Sahani pada minit ke-12.

Suku kedua menyaksikan India terus menguasai permainan dan tidak memberikan peluang kepada anak buah Aaron Ford, sehinggalah pada minit ke-29 apabila Luke Alfred membolosi gawang India menerusi pukulan sudut penalti.

Namun, pada minit ke-35 suku ketiga Amandeep mencipta hatrik untuk gol keempat India sebelum jaringan kelima hasil pukulan sudut penalti Poovanna Boby Chandura pada minit ke-52 dan Arun menerobos gawang bagi gol keenam seminit kemudian.

Bagaimanapun, Luke berjaya menghadiahkan gol kedua buat New Zealand pada minit ke-60 suku keempat dan keputusan kekal 6-2 sehingga tiupan wisel penamat.

Terdahulu, dalam perlawanan Kumpulan A pada sebelah petang, Great Britain menewaskan Afrika Selatan 2-1 dan Australia seri 2-2 dengan Jerman.



Jadual:



SELASA:

Jerman lwn Great Britain - 4.05 petang

Afrika Selatan lwn Australia - 6.05 petang

Pakistan lwn Malaysia - 8.35 malam



-- BERNAMA