JOHOR BAHRU: Malaysia terpaksa akur dengan kekuatan naib juara edisi kesembilan, India, apabila tewas 2-5 dalam aksi pembuka tirai Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, malam tadi.

India, naib juara 2019, bermula baik dengan menjaringkan gol seawal minit keenam suku pertama menerusi gol padang Amandeep serta gol kedua empat minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Hundal Araijeet Singh.

Bagaimanapun, skuad kendalian Muhamad Amin Rahim berjaya merapatkan kedudukan dengan gol padang oleh penyerang Negeri Sembilan, Shahmie Irfan Suhaimi, tiga minit kemudian.

Babak suku kedua menyaksikan India menjaringkan dua lagi gol iaitu gol padang oleh Dhami Boby Singh dan Sudeep Chirmako, masing-masing pada minit ke-20 dan ke-26.

Skuad remaja lelaki negara cuba bangkit pada suku ketiga namun tiada jaringan dihasilkan daripada kedua-dua pasukan.

Berbaki lapan minit suku keempat, penyerang Malaysia Muhammad Amirul Haniff Mamat berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti yang dihantar Wan Muhammad Najmie Ahmad Dzaib pada minit ke-52.

Enggan mengalah, pasukan pelawat meraih gol kelima menerusi pukulan sudut penalti oleh Sharda Nand Tiwari hasil hantaran Vishnukant Singh, empat minit kemudian.

Keputusan kekal sehingga wisel penamat.

Terdahulu, Australia mengatasi Jepun 3-2 manakala juara bertahan Great Britain mengalahkan Afrika Selatan 4-1.

Hari ini, Great Britain dijadualkan bertemu Jepun dan India berdepan Afrika Selatan, sementara Malaysia bakal menentang Australia.

-- BERNAMA