KUALA LUMPUR: Ketumpulan penyudah skuad Speedy Tigers yang melepaskan deretan peluang menjaringkan gol ketika seri 3-3 dengan Pakistan dalam aksi terakhir Kumpulan A kempen kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Muscat, Oman, semalam, ternyata membawa padah kepada mereka sekali gus gagal menempah slot beraksi di Paris, Julai ini.

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, A. Arul Selvaraj berkata walaupun menguasai perlawanan dengan agak memuaskan namun ia tidak cukup untuk mereka mencari tiga mata penuh bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir kempen kelayakan tersebut.

"Kita mencipta banyak (peluang) jaringkan gol tetapi gagal dan Pakistan hanya guna serangan balas untuk menyamakan kedudukan.

"Saya bagi pihak pasukan hoki meminta maaf kepada rakyat Malaysia terutamanya penyokong kerana gagal dalam misi kali ini," katanya dalam satu video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media, hari ini.

Justeru, beliau berkata, Malaysia tiada jalan lain selain perlu bekerja keras bagi memastikan mereka dapat kembali ke pentas Olimpik pada edisi 2028 di Los Angeles.

Speedy Tigers membuka tirai kempen di Oman dengan langkah kiri apabila tumpas 2-3 kepada China Isnin lepas dan dibelasah 1-4 oleh Great Britain, sehari kemudian.

Keputusan seri dengan Pakistan di Stadium Hoki Oman semalam menyaksikan pasukan negara menamatkan saingan Kumpulan A di tempat tercorot dengan satu mata di belakang China (3 mata), Pakistan (4 mata) dan Great Britain yang muncul juara kumpulan (9 mata).

Hanya tiga pasukan terbaik dalam kempen kelayakan di Oman akan melayakkan diri ke Paris 2024.

Kali terakhir Malaysia layak ke Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Dalam pada itu, Arul menuntut anak buahnya kembali bangkit memulihkan maruah negara dengan mencipta kemenangan ke atas Chile dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan esok.

"Kita harus bangkit semula dengan sekurang-kurangnya dapat tempat kelima. Oleh itu, kita harus menang (menentang Chile) untuk bawa skuad negara ke aksi penentuan tempat kelima dan keenam," katanya.

-- BERNAMA