Speedy Tigers jalani persiapan akhir di Australia, 22 pemain rebut tempat

Sarjit berkata aksi menentang Australia pada 20 dan 24 Jan serta Thundersticks pada 16, 17 dan 22 Jan di Perth bakal memberikan peluang kepada pemain menyesuaikan diri dengan tempo permainan, fizikal serta tekanan pada tahap lebih tinggi. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara akan mengadakan Siri Jelajah Australia bermula esok hingga 25 Jan ini sebagai persiapan akhir menjelang Kejohanan Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir pada Mac depan.
Ketua jurulatih Sarjit Singh berkata Speedy Tigers dijadual mengharungi lima perlawanan, merangkumi tiga aksi menentang kelab Thundersticks serta dua perlawanan menentang pasukan kebangsaan Australia, yang turut dijadikan medan ujian buat 22 pemain bagi merebut tempat ke skuad kelayakan Piala Dunia.
"Siri jelajah ini melibatkan gabungan pemain senior dan pemain muda. Tiga daripada enam pemain remaja yang dipanggil ke kem latihan, iaitu Andywalfian Jeffrynus, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari dan Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar akan bersama kami.
"Gabungan ini penting bagi memastikan keseimbangan pasukan, selain memberi peluang kepada pemain muda meraih pengalaman pada peringkat senior," katanya menerusi kenyataan dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.
Sarjit berkata aksi menentang Australia pada 20 dan 24 Jan serta Thundersticks pada 16, 17 dan 22 Jan di Perth bakal memberikan peluang kepada pemain menyesuaikan diri dengan tempo permainan, fizikal serta tekanan pada tahap lebih tinggi.
Beliau berkata siri jelajah itu penting bagi memastikan pasukannya membawa bekalan persiapan terbaik untuk Kejohanan Kelayakan Piala Dunia, dengan Malaysia yang berada dalam Pool B bakal berdepan China, Pakistan dan Austria.
Mengulas mengenai pemilihan pemain, Sarjit berharap kesemua pemain yang dibawa ke Australia dapat membuktikan keupayaan memberi tindak balas positif ketika berdepan tekanan bagi disenaraikan dalam skuad akhir sebanyak 20 pemain ke kejohanan itu.
"Bagi pemilihan ke Kelayakan Piala Dunia, barisan kejurulatihan akan menilai pemain yang mempamerkan prestasi terbaik, mempunyai keserasian sebagai satu pasukan serta cepat menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi perlawanan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


