PERLAWANAN yang mencuri tumpuan ramai untuk Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini sudah pasti Tottenham Hotspur menentang Manchester United.

Di atas kertas, Tottenham Hotspur dilihat mempunyai kelebihan bukan sahaja kerana beraksi di Wembley, malah dibarisi pemain yang cukup mantap terutamanya penyerang Harry Kane.

Penyerang antarabangsa England itu merupakan penjaring terbanyak EPL setakat ini dengan 14 gol, bersama-sama dengan penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang.

Jentera tengah yang dikemudi Christian Eriksen pula memastikan bahagian serangan dapat mengugat gawang lawan dengan tujuh ‘assists’ dan juga empat gol dijaringkan selepas 18 penampilan yang dibuatnya musim ini.

Bagaimanapun kebangkitan United dibawah pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer tidak boleh dipandang ringan.

Di bawah Solskjaer, skuad the Devils berjaya meningkatkan jumlah percubaan ke arah gol kepada 15.0 berbanding 12.7 di bawah Jose Mourinho sebelum ini.

Hantaran yang dibuat juga meningkat daripada 496 di bawah Mourinho kepada 661 untuk skuad Solskjaer.

Penguasaan bola juga sudah meningkat, United kini menguasai 67% permainan berbanding hanya 53.2% sebelum ini.

Perubahan mudah yang dibuat Solskjaer yang boleh dilihat adalah dia memberi kebebasan kepada pemain-pemain untuk beraksi di atas padang.

Peluang itu nampaknya dimanfaat dua pemain yang menunjukkan peningkatan yang ketara selepas pemecatan Mourinho.

Penyerang, Marcus Rashford kini diberi peluang untuk berada di posisi tengah menyerang, menghasilkan impak segera dengan menjaringkan tiga gol dalam empat penampilan.

Paul Pogba yang sebelum ini diletakkan di bangku simpanan diberi peranan bebas untuk bergerak di atas padang.

Ia memberi peluang kepadanya untuk berada dalam kawasan lawan, sekaligus menjaringkan empat gol dan membuat tiga ‘assists’ dalam empat permainan.

Statistik menunjukkan prestasi kedua-dua pemain menunjukkan peningkatan 50%, berbanding United di bawah Mourinho.

Tiada lagi United yang suka bertahan atau ‘park the bus’ selepas Solskjaer mengambil alih tugas selaku pengendali pasukan itu dan falsafah menyerang yang diterapkan pengurus legenda, Sir Alex Ferguson dikatakan sudah kembali.

Malam esok (Ahad) adalah ujian sebenar buat Solksjaer berdepan skuad yang lebih berkualiti berbanding empat perlawanan yang dihadapi dalam EPL sebelum ini.

Kali terakhir dua skuad ini bertemu pada Ogos tahun lepas, Spurs menang 3-0 di Old Trafford, hasil jaringan Kane dan dua gol daripada Lucas Moura.

Mampukah United meneruskan rentetan kemenangan menentang Spurs?

Saksikan perlawanan tersebut di Astro Supersport 3 saluran 816 SD atau 834 HD.