Walaupun pelari pecut negara Mohd Izzuddin Yahya bakal membuat penampilan pertama di Sukan SEA, namun dia yakin mampu menghadiahkan sesuatu buat Malaysia.

Atlet asuhan bekas jaguh pecut negara Nazmizan Muhammad itu memiliki catatan terbaik 10.42 saat, namun untuk meraih emas dia perlu memecahkan rekod kebangsaan 100m milik Watson Nyambek dengan catatan masa 10.30s yang dilakukan pada tahun 1998.

"Saya mendengar arahan daripada jurulatih, beliau berkata di sini saya perlu pecahkan rekod kebangsaan. Insya-Allah saya akan cuba tunaikan.

"Badan saya kini dalam keadaan baik selepas pulih daripada selesema tiga hari yang lepas," tegas atlet dari Perlis itu.

Sebelum ini, guru di SMK Syed Sirajuddin, Arau itu mendominasi acara 100m Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan catatan masa terpantas 10.51s, namun layak ke Singapura lebih awal dengan melakukan 10.48s baru-baru ini.

Izzuddin mengakui berasa bertuah mendapat bimbingan daripada Nazmizan dan memasang azam untuk menamatkan kemarau emas skuad olahraga negara dalam acara pecut di temasya tersebut.