SUKAN
Terbuka Jepun: Sze Fei-Nur Izzuddin 'jinakkan' Indonesia, Pearly-Thinaah bertemu Matsuyama-Shida

Sze Fei-Izzuddin dijadual berdepan pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han di separuh akhir esok. - StadiumAstro
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melakar kejayaan bermakna apabila menundukkan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, hari ini.
Dalam pertarungan sengit yang memakan masa 59 minit, pasangan ranking nombor satu dunia itu menunjukkan semangat juang tinggi sebelum menamatkan aksi suku akhir dengan kemenangan 21-13, 17-21, 22-20, sekali gus mencatat kemenangan dalam pertemuan pertama ke atas gandingan Indonesia berkenaan.
Sze Fei-Izzuddin dijadual berdepan pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han di separuh akhir esok. Dalam edisi lalu, beregu negara itu pernah menewaskan pasangan sama di pentas yang sama.
Terdahulu, Kuang Heng-Po Han melakar kemenangan ke atas satu lagi wakil Malaysia, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong menerusi keputusan 18-21, 25-23, 21-17.Satu lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut mencipta kejutan selepas mengetepikan pilihan kelima kejohanan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, 25-23, 21-19 dalam tempoh 41 minit permainan.
Yew Sin-Ee Yi seterusnya bakal berdepan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seong Jae, yang sebelum ini menyingkirkan gandingan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, 21-13, 18-21, 21-13.
Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo, 21-15, 21-19 -- kemenangan ketiga mereka ke atas pasangan itu.
Bagaimanapun, pilihan ketiga kejohanan itu dijangka berdepan cabaran getir di separuh akhir apabila menentang pasangan tuan rumah, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, yang pernah menewaskan mereka dalam 13 daripada 14 pertemuan terdahulu.
Dalam acara beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara, 21-14, 21-12 dalam masa 32 minit.
Tang Jie-Ee Wei, yang merupakan pilihan keempat kejohanan, bakal membuat perhitungan dengan pasangan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, yang sebelum itu menyingkirkan satu lagi pasangan negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, 21-13, 23-21.
Pertembungan di separuh akhir itu merupakan pertemuan keempat antara kedua-dua pasangan, dengan kemenangan terakhir memihak kepada Tang Jie-Ee Wei di suku akhir kejohanan edisi 2024.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami