KUALA LUMPUR: Panik dan tidak bijak kawal emosi.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky menyifatkan dua situasi tersebut, jelas membawa padah kepada cabaran beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang disingkirkan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, 22-24, 14-21, pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2024 hari ini.

Bukan itu sahaja, Rexy berkata Tang Jie-Ee Wei dilihat tergopoh-gapah untuk mencuri mata daripada pihak lawan, dalam saingan berlangsung di Axiata Arena itu.

"Tang Jie misalnya smesy tak mati, asal smesy saja. Mereka main dengan panik dan emosi pula tidak dikawal.

"Ada beberapa ketika mereka lepas sahaja bola di belakang gelanggang, fikiran mereka hanya mahu ambil mata senang, namun situasi ini tidak boleh berlaku dalam aras permainan mereka," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Keputusan hari ini menyaksikan pasangan kesembilan dunia itu, gagal sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian mara ke suku akhir Terbuka Malaysia tahun lepas.

Ini merupakan kekalahan kedua Tang Jie-Ee Wei kepada pasangan ke-13 dunia dalam tiga pertemuan, sejak kali pertama bertembung pada pusingan kedua Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022 yang berpihak kepada wakil negara, 17-21, 21-18, 21-13.

Dalam perkembangan lain, jurulatih perseorangan lelaki Datuk Tey Seu Bock berkata anak buahnya Ng Tze Yong, akan menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara, pagi esok.

"Semalam lepas perlawanan dah buat pemeriksaan, cuma doktor tak dapat lagi jumpa punca yang sebenar. Sebenarnya nak buat pemeriksaan lanjut hari ini namun tak jadi, mungkin buat janji temu pagi esok," katanya.

Beliau berkata mereka juga terpaksa menghentikan sesi latihan buat seketika untuk Tze Yong yang masih lagi merasai kesakitan, selepas menarik diri ketika ketinggalan 8-12 dalam set pertama kepada pemain Jepun Koki Watanabe, pada pusingan pertama semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Tze Yong mengesyaki beliau mungkin mengalami kecederaan belakang.

Nasib ditimpa pemain perseorangan ranking ke-15 dunia itu, menyaksikan tiada seorang pun wakil negara mara ke pusingan kedua selepas pemain profesional Lee Zii Jia tumpas 21-16, 19-21, 15-21 kepada Lu Guang Zu dari China, Selasa lepas.

-- BERNAMA