SUKAN
Tze Yong jalani pemulihan selama empat minggu - BAM

Tze Yong mengalami kecederaan ketika aksi pusingan pertama Masters Malaysia 2025 pada Mei lepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong akan menjalani proses pemulihan kecederaan ligament krusiat anterior (ACL) selama empat minggu di Qatar.
Ringkasan AI
- Ng Tze Yong cedera ACL dan kini sedang menjalani pemulihan selama empat minggu di Qatar selepas selamat menjalani pembedahan di Doha.
- BAM akan terus memberi sokongan kepada Lee Zii Jia yang baru-baru ini memuat naik lakaran misteri di media sosial, yang menimbulkan pelbagai spekulasi.
- MSN mengesahkan keadaan Zii Jia adalah baik dan tiada isu kesihatan atau mental yang perlu dibimbangkan, setelah berhubung dengan pasukan beliau.
Sebelum ini, BAM mengesahkan Tze Yong mengalami kecederaan berkenaan selepas keputusan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mengesan terdapat koyakan ACL pada lutut kanan.
Pemain kelahiran Johor itu, mengalami kecederaan ketika aksi pusingan pertama Masters Malaysia 2025 pada Mei lepas ketika menentang pemain Hong Kong Angus Ng Ka Long sekali gus terpaksa menarik diri daripada perlawanan.
Dalam pada itu, Kenny berkata BAM sedia memberi sokongan kepada pemain profesional Lee Zii Jia mengenai tindakannya berkongsi beberapa lakaran misteri di media sosial, baru-baru ini.
"Kalau dia memerlukan bantuan dan sokongan, jika kita boleh, kita sentiasa mahu bantu sekiranya ada kepakaran di sini," katanya.
Sabtu lepas, Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan Zii Jia berada dalam keadaan baik dan tiada perkara yang perlu dibimbangkan mengenai tindakannya berkongsi beberapa lakaran misteri di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata pihaknya, selain Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sudah menghubungi Team LZJ bagi mendapatkan kepastian mengapa pemain itu bertindak sedemikian.
Hantaran misteri dibuat Zii Jia kini mengumpul lebih 131,000 tanda suka dan lebih 3,000 komen sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai maksud di sebalik perkongsian berkenaan, termasuk wujud dakwaan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mungkin sedang berdepan masalah kesihatan atau mental.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami