Berbaki tiga minggu menjelang temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berharap agar pihak pengurusan, atlet dan jurulatih bijak menguruskan jadual latihan serta kejohanan pemanas badan yang disertai mereka.

Beliau berkata ini bagi mengelakkan kecederaan dalam kalangan atlet yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk beraksi pada temasya dwi tahunan itu nanti.

"Kecederaan itu sebahagian daripada sukan. Mana kita dapat elak, kita elak sebab tidak ada sesiapa yang hendak cedera. Mereka pun tahu macam mana hendak urus latihan dan kejohanan sebelum Sukan SEA.

"Kalau sekiranya berlaku kecederaan yang tidak dapat dielakkan, kita tidak boleh hendak buat apa. Yang pastinya, kita akan sentiasa pastikan semua atlet bersedia pada Sukan SEA nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum terbuka 'Hab Sukan Komuniti untuk Semua' di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Beberapa atlet difahamkan mengalami kecederaan ketika menyertai kejohanan sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA pada Ogos ini dan terkini pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei.

Peluang pemain berusia 17 tahun untuk membawa cabaran di Sukan SEA kini dalam tanda tanya setelah mengalami kecederaan berulang di buku lali ketika beraksi di Kejohanan Remaja Asia di Jakarta minggu lepas.

Untuk rekod, Jin Wei mengalami kecederaan buku lali ketika beraksi di Malaysia Masters di Sibu pada Januari lepas dan kembali beraksi selepas tiga bulan tersisih dan sejak itu mengharungi jadual yang begitu padat.

Jin Wei mara ke final peringkat senior pertamanya di Terbuka Taiwan pada awal Julai, disusuli kejayaan memenangi gelaran perseorangan dan berpasukan wanita di Sukan Sekolah-sekolah ASEAN.

Jin Wei kemudiannya membantu cabaran negara dalam acara berpasukan campuran di Kejohanan Remaja Asia di Jakarta namun terpaksa menarik diri sebelum aksi separuh akhir menentang Indonesia setelah kecederaannya kembali berulang, yang menyaksikan Malaysia tewas 1-3.

Jika tidak mengalami kecederaan, pemain dari Pulau PInang itu dijadual beraksi di Kejohanan Terbuka New Zealand di Auckland yang dijadual berlangsung dari 1-6 Ogos depan.

-- BERNAMA