PENGURUS Barcelona, Ernesto Valverde, teruja untuk memperbaharui perseteruannya dengan Zinedine Zidane selepas pengurus Perancis itu kembali dilantik selaku pengurus Real Madrid buat kali kedua.

Zidane rasmi kembali ke Madrid semalam dengan menandatangani kontrak tiga tahun untuk menggantikan Santiago Solari yang dilantik sebagai pengurus sementara ekoran pemecatan Julen Lopetegui.

Valverde memenangi hanya satu daripada empat pertemuannya dengan Zidane musim lalu, namun dia berjaya mengalahkan Madrid sebagai juara LaLiga.

Ditanya mengenai kepulangan rakan sejawatannya itu di Santiago Bernabeu, Valverde memberitahu sidang media: "Dia seorang pengurus yang hebat, dia menyertai sebuah kelab yang hebat.

"Mereka akan menjadi pesaing kami dan saya berharap dapat membimbing Barca ketika menentang pasukannya."

BACA: Kerana cinta, Zidane kembali kemudi Real Madrid

Pelantikan semula Zidane berlaku selepas Madrid mengalami kekalahan mengejut di tangan Ajax dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) apabila tumpas 1-4 secara agregat.

Penyingkiran Madrid itu disusuli Paris Saint-Germain (PSG) yang mensia-siakan bekalan 2-0 ke atas Manchester United.

Justeru, ia memberi amaran kepada Barcelona tatkala mereka akan menghadapi Lyon di Camp Nou untuk pertemuan kedua dengan agregat seimbang 0-0.

Barcelona disingkirkan Roma dalam kancah itu musim lalu dengan kekalahan 0-3 dalam aksi timbal balik di sebalik kemenangan 4-1 dalam pertemuan awal.

Valverde tidak bimbang dengan kekalahan memalukan itu sambil menambah: "Kami tidak terlalu bimbang tentang apa yang berlaku setahun yang lalu.

"Dengan apa yang berlaku tahun lalu, ia menjadi peringatan kepada kami bahawa tiada pasukan kerdil dalam UCL manakala keputusan pertemuan pertama bukanlah jaminannya.

"Jika pasukan seperti Real Madrid dan PSG boleh tersingkir, itu perlu diambil kira. Kami sedar PSG adalah kelab yang sangat besardan pasukan besar seperti itu telah tersingkir daripada persaingan. Ini bermakna kami perlu berhati-hati."

Ousmane Dembele dalam keraguan untuk menyambut kunjungan Les Gones dan Barca akan memutuskan khidmatnya setelah ujian masalah hamstringnya dijalankan.

"Pertama sekali, kami perlu mendapatkan penilaian terhadap keadaannya, kemudian barulah kami boleh membuat keputusan.

"Jika dia tidak cergas, maka dia tidak akan bermain," kata Valverde.

"Ia satu perlawanan getir tetapi kami tidak akan meletakkan seorang pemain dan kemudian mengeluarkannya pada awal permainan, kami akan membuat keputusan berdasarkan ujian itu."