Pemain tengah yang berpangkalan di Amerika Syarikat Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal mungkin tidak akan dapat menyertai fasa kedua latihan pusat pasukan Kebangsaan Bawah 18 (B-18) disebabkan perancangan yang telah ditetapkan lebih awal.

Ketua jurulatih U-18 kebangsaan Brad Maloney berkata, beliau mahukan Wan Kuzri untuk terus bersama pasukan, namun terdapat beberapa faktor untuk dipertimbangkan termasuk perancangan awal untuk pemain Akademi Bola Sepak St Louis itu untuk pulang ke Amerika Syarikat.

"Saya perlu berbincang perkara itu bersama beliau (Wan Kuzri) disebabkan kepada perancangan awal untuk kemungkinan beliau pulang semula ke kelabnya, tetapi kami mempunyai banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sekarang, kemungkinan kuarantin, pandemik itu (COVID-19). Ada lebih banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sekarang ini.

"Saya mahu beliau untuk ada (dalam kem latihan) tetapi jelas sekali kelabnya mempunyai hak untuk memanggil beliau semula, jika mereka mahu. Kita akan bekerjasama dengan beliau, keluarganya dan kelab untuk mencari penyelesaian terbaik. Tentunya saya mahukan beliau menjadi sebahagian daripada pemain yang dipanggil untuk latihan, jika boleh," katanya selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Selepas penantian beberapa bulan, Wan Kuzri adik kepada pemain Sporting Kansas City Wan Kuzain akhirnya menyertai latihan pasukan kebangsaan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia 2020 (AFC), pada Oktober.

Kejohanan AFC Bawah-19, yang dijadualkan berlangsung di Uzbekistan 14-31 Okt, merupakan pusingan kelayakan ke Piala Dunia Remaja Bawah-20, di Indonesia tahun hadapan.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara Qatar, Tajikistan dan Yemen, disasarkan untuk menjadi pasukan pertama negara untuk layak ke Piala Dunia Bawah-20 secara merit.

-- BERNAMA