Pengendali Pahang Zainal Abidin Hassan kecewa dengan sikap sambil lewa yang ditunjukkan pemainnya sehingga hanya mampu menang tipis ketika menentang MISC-MIFA malam tadi.

"Selepas mendahului 2-0 mereka (pemain Pahang) terus leka ... pemain perlu lebih bersedia dan fokus sepanjang perlawanan dan bukannya membenarkan lawan mengasak hingga hampir mengheret ke perlawanan masa tambahan," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan malam tadi, Pahang hanya mampu menang tipis 2-1 ke atas MISC-MIFA di Stadium Darul Makmur.

Beliau berharap pemain tidak mengulangi kesilapan sama apabila bertemu Pulau Pinang pada 7 April depan ketika pusingan suku akhir.

Zainal berkata, ini bagi memastikan misi pasukan itu untuk mempertahankan Piala FA tidak terkubur di tengah jalan.

Sementara itu, Pengendali MISC-MIFA Jacob Joseph berkata, prestasi ditunjukkan pemainnya tidak jauh berbeza dengan pemain Pahang.

Katanya, faktor pemain import memberi kelebihan kepada Pahang untuk melakar kemenangan bagi melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala FA.

"Saya sebenarnya berpuas hati apabila kami berjaya mengikat Pahang 0-0 pada separuh masa pertama tetapi kelalaian pemain pada awal babak kedua bersambung membolehkan Pahang menjaringkan gol," katanya.

Namun beliau tetap memuji semangat pemainnya yang berusaha dan berjaya menghasilkan jaringan pada minit akhir perlawanan.

Katanya beliau akan memberi tumpuan pada saingan Liga FAM untuk memastikan skuad bimbingannya muncul Johan Kumpulan B, walaupun pihak pengurusan hanya menyasarkan tempat ketiga terbaik.