KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersetuju membenarkan pemain badminton negara Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei bertanding dalam kejohanan antarabangsa.

Ia selepas badan induk berkenaan mengambil kira rayuan yang dibuat oleh kedua-dua pemain itu mengikut prosedur rasmi ditetapkan sebelum bersepakat untuk melepaskan Zii Jia dan Jin Wei daripada kontrak masing-masing.

“BAM mengambil kira rayuan kedua-dua pemain mengikut prosedur rasmi sebelum mencapai keputusan untuk melepaskan mereka daripada kontrak masing-masing dengan BAM mengikut terma dan syarat yang dipersetujui bersama.

“Keputusan ini telah disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Sabri Yaakob dan Penaung BAM, Datin Sri Muhaini Zainal Abidin oleh Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria hari ini,” jelas BAM dalam kenyataan pada Khamis.

BACA: PM jumpa Zii Jia, Jin Wei dan pengurusan BAM

BACA: Zii Jia dedah hasrat jadi pemain profesional sejak setahun lepas 

BAM pada masa sama berterima kasih kepada Zii Jia dan Jin Wei atas dedikasi dan komitmen kepada negara dan mendoakan yang terbaik dalam usaha masa depan mereka.

Selasa lalu, Zii Jia mengesahkan bahawa dia sudah mendapat restu daripada BAM untuk bergerak secara profesional dan sudah menghantar surat rayuan.


Jin Wei turut menyerahkan surat rayuan agar dia juga mendapat restu bergerak secara profesional dan boleh menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Mereka berdua sebelum ini tidak boleh didaftarkan untuk menyertai menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari lalu susulan keputusan untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.