SAN FRANCISCO: Sebahagian pengguna platform kecerdasan buatan (AI) Claude dilapor meluahkan rasa tidak puas hati susulan pelaksanaan ciri tera air digital pada kandungan teks yang dijana oleh model berkenaan, lapor Amanz.
Perubahan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna, khususnya pembangun perisian, penulis dan pencipta kandungan yang menggunakan Claude bagi tujuan kerja harian.
Anthropic pada 14 Ogos lalu menjelaskan bahawa model Claude baharu kini menghasilkan teks yang mengandungi tera air digital sebagai sebahagian daripada usaha mematuhi keperluan ketelusan di bawah Akta AI Kesatuan Eropah (EU AI Act).
Penandaan tersebut mula terpakai kepada model yang dilancarkan selepas 2 Ogos.
Menerusi pelbagai perbincangan dalam talian, sesetengah pengguna menyuarakan kebimbangan berkaitan hak cipta, pemilikan kandungan dan kemungkinan hasil kerja yang dibantu AI dapat dikenal pasti oleh sistem pihak ketiga.
Menurut Anthropic, tera air tersebut tidak melibatkan aksara tersembunyi atau perubahan yang dapat dilihat oleh pengguna.
Sebaliknya, ia menggunakan corak pemilihan token yang membolehkan kebarangkalian penggunaan Claude dikesan menerusi alat pengesanan khas.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa mekanisme berkenaan tidak menjejaskan kualiti, kandungan atau kos penjanaan teks, selain tidak mengandungi maklumat yang boleh mengenal pasti pengguna tertentu.
Anthropic berkata tera air tersebut boleh kekal walaupun teks disalin atau disunting secara ringan.
Bagaimanapun, keberkesanannya boleh berkurangan atau hilang sepenuhnya apabila kandungan diparafrasa, diterjemahkan atau diubah suai secara ketara oleh manusia.
Sebilangan pengguna bagaimanapun melahirkan kebimbangan bahawa teks yang dibantu AI mungkin lebih mudah dikenal pasti atau ditapis oleh sesetengah platform dan organisasi pada masa hadapan.
Setakat ini, tiada data rasmi yang menunjukkan kesan ketara terhadap prestasi perniagaan Anthropic susulan pelaksanaan ciri tersebut.
Perubahan itu berlaku ketika industri AI global berdepan tekanan kawal selia yang semakin meningkat, dengan beberapa penyedia model utama dijangka melaksanakan mekanisme ketelusan kandungan yang serupa bagi memenuhi keperluan undang-undang di Eropah.