CUPERTINO: Apple dilaporkan sedang membangunkan ciri baharu "Create a Pass" yang membolehkan pengguna menukar tiket atau pas fizikal kepada format digital secara terus di dalam aplikasi Apple Wallet.
Menerusi kemas kini sistem operasi iOS akan datang, ciri tersebut dijangka membolehkan pengguna mengimbas kod QR pada tiket fizikal sebelum ia dipaparkan dalam Wallet menggunakan templat yang tersedia, lapor Amanz.
Tiga jenis templat utama sedang diuji iaitu Standard (jingga) untuk pas umum, Membership (biru) bagi keahlian gimnasium, dan Event (ungu) khusus untuk tiket sukan, konsert atau wayang.
Inisiatif ini bertujuan menggantikan tabiat pengguna yang sering mengambil gambar tiket fizikal sebagai rujukan, sekali gus memastikan simpanan tiket lebih teratur berbanding di dalam galeri foto yang sukar dicari.
Dengan integrasi ini, pengguna boleh mengakses pas mereka dengan lebih pantas melalui pintasan skrin kunci atau jam tangan Apple Watch.
Langkah Apple ini dilihat sebagai usaha berterusan syarikat berkenaan untuk mendigitalkan barangan di dalam dompet fizikal pengguna, selepas pengenalan kunci digital, lesen memandu, dan kad pengenalan di beberapa wilayah sebelum ini.
Walau bagaimanapun, keberkesanan ciri ini bergantung kepada keserasian kod QR yang digunakan oleh pihak penganjur atau penyedia perkhidmatan.