Skip to main content

Teknologi

Foursquare dibeli Infillion dalam langkah perluas ekosistem pengiklanan digital

[TB]_FourSquare_AMANZ
Menerusi pengambilalihan tersebut, Infillion akan menyepadukan data kunjungan dunia sebenar milik Foursquare ke dalam platformnya bagi membantu pengiklan mengukur keberkesanan kempen digital terhadap kunjungan ke premis perniagaan serta corak pembelian pengguna. -Foto Amanz
Advertisement

PLATFORM risikan lokasi global Foursquare kini diambil alih oleh syarikat teknologi pengiklanan bebas, Infillion, dalam langkah yang dijangka memperkukuh penawaran data lokasi dan keupayaan pengiklanan digital syarikat itu, lapor Amanz.

Menerusi pengambilalihan tersebut, Infillion akan menyepadukan data kunjungan dunia sebenar milik Foursquare ke dalam platformnya bagi membantu pengiklan mengukur keberkesanan kempen digital terhadap kunjungan ke premis perniagaan serta corak pembelian pengguna.

Bagaimanapun, nilai pengambilalihan itu tidak didedahkan oleh kedua-dua syarikat.

Jenama Foursquare akan dikekalkan dan terus beroperasi sebagai perniagaan data di bawah Infillion.

Lindsey Kintner pula dijadual menyertai Infillion sebagai Pengurus Besar Unit Perniagaan Data, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Foursquare, Gary Little, tidak akan menyertai pengurusan baharu syarikat berkenaan.

Diasaskan pada 2009, Foursquare pernah mendapat perhatian meluas pengguna di seluruh dunia menerusi fungsi daftar masuk lokasi serta elemen gamifikasi yang membolehkan pengguna berkongsi aktiviti di lokasi pilihan mereka.

Pada 2014, syarikat itu memisahkan fungsi daftar masuk ke aplikasi Swarm, manakala Foursquare memberi tumpuan kepada perkhidmatan data lokasi dan risikan perniagaan.

Susulan pengambilalihan itu, Infillion berkata pihaknya sedang menilai masa depan aplikasi Swarm dan aplikasi peta berasaskan kecerdasan buatan, Superlocal, termasuk kemungkinan model kod terbuka atau kerjasama strategik dengan komuniti pengguna sedia ada.

Must Watch Video

Advertisement