Skip to main content

Teknologi

Getty Images batal penggabungan AS$3.7 bilion dengan Shutterstock

[TB]_Getty Images Shutterstock_AMANZ
Getty Images dalam satu pemfailan kawal selia berkata lembaga pengarah syarikat itu sebulat suara memutuskan untuk tidak meneruskan proses pelupusan perniagaan editorial Shutterstock dan seterusnya menamatkan perjanjian penggabungan berkenaan. -Foto Amanz
Advertisement

GETTY Images membatalkan rancangan penggabungan bernilai AS$3.7 bilion (kira-kira RM15.7 bilion) dengan pesaingnya, Shutterstock, selepas dikenakan syarat ketat oleh Pihak Berkuasa Persaingan dan Pasaran United Kingdom (CMA).

Menurut Amanz yang memetik laporan Wall Street Journal, CMA sebelum ini memutuskan bahawa penggabungan itu hanya boleh diluluskan sekiranya Shutterstock menjual perniagaan editorial globalnya bagi menangani kebimbangan berkaitan persaingan dalam pasaran kandungan berita dan editorial di United Kingdom.

Getty Images dalam satu pemfailan kawal selia berkata lembaga pengarah syarikat itu sebulat suara memutuskan untuk tidak meneruskan proses pelupusan perniagaan editorial Shutterstock dan seterusnya menamatkan perjanjian penggabungan berkenaan.

Cadangan penggabungan yang diumumkan pada Januari 2025 itu bertujuan mewujudkan syarikat kandungan visual bernilai AS$3.7 bilion menerusi gabungan portfolio pelesenan gambar, audio dan video kedua-dua syarikat.

Langkah itu turut dilihat sebagai strategi menghadapi persaingan yang semakin meningkat daripada teknologi penjana imej berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Bagaimanapun, CMA berpendapat penggabungan tersebut boleh mengurangkan pilihan kepada organisasi media di United Kingdom serta berpotensi meningkatkan harga kandungan editorial kerana Shutterstock merupakan antara pesaing utama Getty Images dalam segmen itu.

Kegagalan urus niaga itu menyaksikan Getty Images dan Shutterstock terus beroperasi sebagai syarikat berasingan dalam pasaran kandungan visual global.

Getty Images turut memaklumkan bahawa ia akan melantik penasihat kewangan bagi menilai pilihan pembiayaan dan strategi korporat lain pada masa hadapan.

 

Must Watch Video

Advertisement