MENLO PARK: Gergasi teknologi Meta sedang menguji aplikasi eksperimen baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dikenali sebagai StoryKit untuk pasaran pengguna di Mexico, lapor Amanz.
Aplikasi yang dilancarkan secara terhad menerusi Apple App Store bagi peranti iPhone itu dibangunkan untuk membantu ibu bapa menghasilkan cerita kanak-kanak interaktif dengan lebih mudah dan kreatif.
Menerusi aplikasi tersebut, pengguna hanya perlu memasukkan arahan teks berdasarkan tema yang diingini sebelum sistem menjana naratif cerita secara automatik.
Sistem AI itu turut menghasilkan elemen sokongan seperti ilustrasi, audio penceritaan dan muzik latar yang bersesuaian dengan jalan cerita.
Bagi memudahkan penggunaan luar talian, StoryKit turut menyediakan pilihan memuat turun hasil penulisan dalam format PDF untuk tujuan cetakan.
Langkah itu dilihat sebagai usaha Meta mempamerkan keupayaan model AI terbaharunya dalam mengendalikan tugasan pelbagai mod (multimodal).
Selain Meta, Google sebelum ini turut memperkenalkan aplikasi dengan fungsi hampir serupa yang dikenali sebagai Gemini Storybook.