WASHINGTON: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengumumkan pelancaran Project Meridian, sebuah inisiatif yang bertujuan mengkaji corak peperangan masa depan serta mengenal pasti teknologi dan keupayaan yang diperlukan oleh angkatan tentera negara itu pada masa hadapan, lapor Amanz.
Menurut Pentagon, projek berkenaan akan meneliti perubahan yang dijangka berlaku dalam medan peperangan serta membantu Amerika Syarikat mengekalkan kelebihan teknologi ketenteraannya.
Menteri Pertahanan AS, Pete Hegseth, berkata inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan penggunaan sistem serta teknologi yang diperlukan dalam konflik masa depan, daripada operasi bawah permukaan bumi hingga ke ruang angkasa yang melangkaui bulan.
Project Meridian akan diselia oleh pegawai kanan teknologi Pentagon, Emil Michael, dengan Elon Musk, Palmer Luckey dan Newt Gingrich dilantik sebagai pemimpin bersama projek tersebut.
Selain tokoh industri dan politik, projek itu turut melibatkan penyertaan pakar daripada bidang akademik, teknologi, keselamatan negara dan dasar awam bagi membantu menilai cabaran peperangan masa depan.
Pentagon menetapkan tempoh 120 hari untuk pasukan berkenaan menyiapkan kajian dan mengemukakan laporan akhir.
Laporan itu dijangka diserahkan pada 28 Jan 2027 dan akan mengandungi laporan awam serta lampiran sulit yang merangkumi maklumat berkaitan keselamatan negara dan pertahanan.
Musk merupakan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX yang mempunyai pelbagai kontrak dengan Pentagon, manakala Luckey ialah pengasas bersama Anduril Industries yang membangunkan sistem autonomi dan teknologi pertahanan.
Gingrich pula merupakan bekas Speaker Dewan Perwakilan AS.