SAN DIEGO: Qualcomm Incorporated mengumumkan pembaharuan perjanjian lesen paten global jangka panjang dengan Apple Inc. yang akan berkuat kuasa mulai 1 April 2027.
Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan ringkas oleh unit Qualcomm Technology Licensing (QTL), lapor Amanz.
Bagaimanapun, Qualcomm tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai implikasi kewangan, kadar royalti atau tempoh sebenar perjanjian baharu tersebut.
Pembaharuan itu memastikan kesinambungan hubungan pelesenan harta intelek antara kedua-dua syarikat, sekali gus memberikan kepastian kepada industri teknologi mudah alih yang banyak bergantung kepada teknologi komunikasi selular.
Pada 2017, Apple dan Qualcomm terlibat dalam pertikaian undang-undang berhubung amalan pelesenan paten serta pembayaran royalti.
Pertikaian berkenaan berakhir pada April 2019 selepas kedua-dua syarikat mencapai penyelesaian di luar mahkamah dan bersetuju menamatkan semua tindakan perundangan di seluruh dunia.
Sebagai sebahagian daripada penyelesaian tersebut, Apple membuat pembayaran yang tidak didedahkan nilainya kepada Qualcomm serta memeterai perjanjian lesen paten global selama enam tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun.
Opsyen itu kemudiannya digunakan, menjadikan perjanjian berkuat kuasa sehingga 31 Mac 2027.
Perjanjian baharu itu diumumkan ketika Apple meneruskan peralihan kepada modem selular reka bentuk sendiri bagi sebahagian peranti keluarannya.
Namun, akses kepada teknologi dan paten komunikasi selular yang dilesenkan kekal penting dalam pembangunan peranti mudah alih moden.