Skip to main content

Teknologi

Samsung rancang pusat data terapung di laut

Elon Musk mahu membina pusat data di angkasa lepas. China pula sudah memulakan operasi pusat data bawah laut di Shanghai. Samsung kini mengambil jalan tengah dengan hasrat membina pusat data terapung (FDC) di permukaan laut.
Struktur itu juga dijangka menggunakan gas asli cecair (LNG) sebagai sumber tenaga utama, selain direka untuk beroperasi secara fleksibel di kawasan pelabuhan, pesisir pantai atau sungai. -Foto Amanz

SEOUL: Syarikat pembinaan kapal Samsung Heavy Industries mengumumkan rancangan membangunkan pusat data terapung (FDC) di permukaan laut bagi menangani kekurangan ruang tanah serta penggunaan air yang tinggi oleh pusat data tradisional.

Bagi merealisasikan projek itu, syarikat berkenaan telah memeterai kerjasama strategik dengan firma perkapalan Greece, Capital Clean Energy Carriers, lapor Amanz.

Antara ciri utama reka bentuk pusat data terapung tersebut termasuk penggunaan sistem penyejukan berasaskan air laut, yang membolehkan pelayan disejukkan secara semula jadi dengan lebih cekap tenaga.

Struktur itu juga dijangka menggunakan gas asli cecair (LNG) sebagai sumber tenaga utama, selain direka untuk beroperasi secara fleksibel di kawasan pelabuhan, pesisir pantai atau sungai.

Samsung turut memperkenalkan konsep FDC berkapasiti 50 megawatt (MW), yang telah menerima kelulusan awal daripada Biro Perkapalan Amerika (ABS) dan Lloyd’s Register bagi tujuan piawaian keselamatan serta insurans maritim.

Selain itu, syarikat bekerjasama dengan Supermicro untuk menguji daya tahan pelayan kecerdasan buatan (AI) dalam persekitaran marin.

Inisiatif ini dilihat sebagai alternatif kepada pembinaan pusat data di daratan yang sering dikritik kerana penggunaan sumber air dan tanah yang tinggi.

Bagaimanapun, projek ini masih berdepan cabaran termasuk hakisan air masin, kelembapan tinggi, getaran serta kestabilan struktur akibat ombak.

 

Must Watch Video

Advertisement