SHANGHAI: Syarikat teknologi Yueban secara rasmi meluncurkan sebuah robot tandas bergerak baharu yang dinamakan Xiaoban khusus bagi kegunaan golongan warga emas yang mengalami masalah pergerakan fizikal, lapor Amanz.
Robot tandas pintar berkenaan dipertontonkan buat kali pertama kepada umum sempena berlangsungnya Ekspo Penjagaan Warga Tua Shanghai 2026, di sini, baru-baru ini.
Inovasi tersebut direka untuk bergerak secara langsung ke arah katil pengguna apabila diperlukan, sekali gus mengubah kaedah penjagaan tradisional dengan membawa fungsi bilik air terus kepada warga emas yang uzur.
Bagi memastikan tahap kebersihan yang optimum, Xiaoban dilengkapi dengan sistem pembersih menggunakan air suam, komponen pengering terbina dalam, serta sistem kawalan khas bagi meneutralkan bau busuk.
Pengguna boleh menyeru peranti berkenaan dengan mudah sama ada melalui alat kawalan jauh atau menggunakan fungsi arahan suara.
Sebaik sahaja proses penggunaan selesai, robot berkenaan akan bergerak ke bilik air sedia ada untuk menyalurkan sisa kumbahan terus ke dalam mangkuk tandas kekal, selain melakukan proses pengecasan semula bateri dan bekalan air secara automatik di dermaga khas.
Infrastruktur navigasi Xiaoban disokong oleh gabungan sensor kamera dan teknologi LiDAR bagi membolehkannya mengesan kedudukan pengguna serta mengelak halangan, menyamai sistem operasi robot vakum pintar dalam pasaran.
Di pasaran China, robot Xiaoban ditawarkan pada harga jualan RMB 28,999 (kira-kira RM17,500) seunit.
Walau bagaimanapun, pihak pengilang mengesahkan tiada sebarang perancangan untuk memasarkan produk berkenaan ke pasaran global buat masa ini.