Skip to main content
Advertisement

Berita

Tragedi buli SMK Za'ba: Fadhlina jawab tujuh saranan Asyraf Wajdi

NILAI, 23 Julai -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap pada Majlis Penutup Kem Sains Islam ASEAN di Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fadhlina tampil memperincikan tujuh langkah komprehensif KPM bagi menjawab saranan radikal Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berhubung insiden buli maut di SMK Za'ba.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek tampil memperincikan langkah-langkah komprehensif Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menjawab tujuh saranan radikal yang dikemukakan Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu buli di sekolah.

Tegas beliau, KPM sememangnya sedang dan telah menggerakkan pelbagai inisiatif termasuk penguatkuasaan Akta Antibuli 2026, penambahan pemantauan fizikal, serta amaran keras terhadap mana-mana pihak yang cuba menutup kes.

Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads, Fadhlina menyambut baik pandangan Asyraf Wajdi berhubung keperluan menambah pemantauan di asrama dengan mengesahkan KPM telah menambah 300 Pembantu Warden Asrama sejak April tahun ini bagi menyokong lebih 10,000 warden sedia ada.

Menyentuh soal pihak yang cuba menyembunyikan kes, beliau memberi amaran bahawa tindakan tegas pasti menanti pentadbir atau guru yang cuai atau cuba melindungi insiden buli di sekolah demi menjaga reputasi.

"Sebab itu kita juga 'reform' Portal Aduan Buli KPM dan memperkenalkan fungsi aduan tanpa nama untuk melindungi identiti pengadu dan saksi. Kita kena pastikan mereka ada jalan untuk bersuara dan yakin bahawa apabila mereka bersuara, ada orang yang akan bertindak," kata Fadhlina dalam hantaran tersebut.

Berhubung pengurusan kes bermotifkan jenayah, beliau menjelaskan sekolah sama sekali tidak dibenarkan mengambil alih tugas polis untuk menyelesaikannya sebagai kes disiplin semata-mata, sebaliknya ia wajib dilaporkan terus kepada pihak berkuasa

Menjawab gesaan penggunaan Akta Antibuli 2026 sepenuhnya, Fadhlina memaklumkan KPM adalah antara penggerak utama penggubalan akta tersebut bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), yang kini memberi ruang kepada mangsa membawa aduan ke Tribunal Antibuli.

"Selepas Akta ini, pengurusan buli bukan lagi bergantung kepada garis panduan sekolah semata-mata. Institusi pendidikan mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang," jelas beliau.

Bagi menghapuskan zon titik buta (blind spot), Fadhlina mengesahkan pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) telah diperluaskan ke 333 buah sekolah tahun ini membabitkan kawasan berisiko seperti tangga, koridor dan bilik persediaan (prep), disokong dengan kepakaran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Fadhlina turut menempelak budaya senioriti yang berselindung di sebalik tradisi, dengan menegaskan tiada istilah "senior ajar junior" sekiranya ia melibatkan perbuatan memukul, mengugut atau memalukan.

Jelas beliau, KPM sedang melaksanakan intervensi antibuli yang menyeluruh dikenali sebagai SAFE bagi memutuskan rantaian budaya berkenaan dengan penglibatan ibu bapa dan komuniti.

Isu buli di sekolah berasrama kembali menjadi perdebatan hangat susulan insiden kematian seorang pelajar Tingkatan Dua, Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za'ba, Kuala Pilah.

Siasatan kes tersebut kini dijalankan oleh pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh, dengan seorang pelajar senior berusia 16 tahun ditahan reman.

 

Must Watch Video

Advertisement