Skip to main content

Bisnes

ShopLAH rancakkan KLIA sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Malaysia Airports, ShopLAH 2026 - Malaysia Airports
(Dari kiri) Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial, Hani Ezra Hussin; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; serta Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani ketika memperagakan beg bebas cukai rekaan artis tempatan semasa pelancaran kempen ShopLAH. - Foto Malaysia Airports

SEPANG: Seiring bahang Tahun Melawat Malaysia 2026, Malaysia Airports memperkenalkan kempen ShopLAH bagi menjadikan pengalaman di lapangan terbang lebih bermakna, sekali gus memperkasa peranan peruncitan sebagai pemacu utama perbelanjaan pelancong.

Kempen berterusan itu menggabungkan pengalaman membeli-belah, menjamu selera dan penceritaan budaya tempatan dalam perjalanan penumpang, sekali gus menampilkan lapangan terbang sebagai titik permulaan pengalaman pelawat ke Malaysia. 

Advertisement

ShopLAH juga bertujuan meningkatkan nilai pengalaman membeli-belah sambil mengetengahkan identiti negara melalui gabungan jenama tempatan dan antarabangsa.

Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Komersial Malaysia Airports, Hani Ezra Hussin berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada keseimbangan penawaran komersial di lapangan terbang dengan menampilkan jenama Malaysia yang semakin mendapat perhatian pelancong.

“Jadi, kami seimbangkan tawaran-tawaran di lapangan terbang di mana kita akan mengetengahkan brand-brand Malaysia yang popular seperti Chef Wan, Serai, Jibby Chow, Royal Selangor.

“Untuk pelancong pula, ada restoran Paul's dan Jamie Oliver's serta lain-lain. 

“Selain daripada itu, bukan sahaja restoran-restoran ataupun peruncitan yang ada, kami juga mengetengahkan macam-macam elemen untuk pengunjung mengambil gambar, seiring dengan trend semasa,” katanya di majlis Pelancaran ShopLAH, di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Terminal 1, di sini, pada Selasa. 

Image
Malaysia Airports, ShopLAH 2026 - Malaysia Airports
(Dari kiri) Datuk  Mohd Izani Ghani, Datuk Seri Tiong King Sing dan Hani Ezra Hussin melancarkan Tourist Privilege Card, antara sorotan utama kempen ShopLAH untuk memperkaya pengalaman membeli-belah pelawat antarabangsa. - Foto Malaysia Airports

 

Menurut Hani Ezra, peningkatan minat terhadap jenama tempatan membuka ruang untuk memperkukuh konsep ‘Sense of Malaysia’ di lapangan terbang, selari dengan jangkaan pelawat antarabangsa. 

Pada masa sama, ShopLAH menyokong rakan niaga dengan menggalakkan perbelanjaan pelawat secara berterusan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, selain menjadi sebahagian usaha jangka panjang Malaysia Airports untuk memantapkan kedudukan negara sebagai hab paling berhubung di rantau Asia Pasifik.

Malaysia Airports turut memperkenalkan Tourist Privilege Card iaitu kad ganjaran digital melalui aplikasi MYAirports yang menawarkan diskaun dan keistimewaan membeli-belah di premis runcit serta makanan dan minuman di lapangan terbang.

“Sepanjang tahun Melawat Malaysia 2026, kami rasa ianya penting untuk mengalu-alukan pelancong jadi, Tourist Privilege Card ini merupakan akses digital yang boleh dimuat turun daripada aplikasi MYAirports bila mereka kemukakan pasport.

“Jadi, apabila pengguna memuat turun aplikasi tersebut, mereka dapat voucher diskaun untuk berbelanja di mana-mana sahaja kedai di lapangan terbang Malaysia Airport. 

“Inisiatif ini juga merupakan sebuah hadiah untuk semua pelawat,” tambahnya.

 

Image
Malaysia Airports, ShopLAH 2026 - Malaysia Airports
(Dari kiri) Francisca Luhong, Vanessa Tevi Kumares, Serena Lee dan Gil memperagakan beg eksklusif bebas cukai ShopLAH dengan rekaan warna-warni dihasilkan artis Malaysia, Hsieying, Kideika, Daisy Dalia dan Afi. - Foto Malaysia Airports

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, ShopLAH mencerminkan peranan pengendali lapangan terbang dalam membentuk tanggapan pertama dan terakhir pelawat terhadap Malaysia.

“Kempen ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman perjalanan penumpang, malah mengukuhkan ekosistem komersial kami melalui kerjasama rapat dengan pengusaha, jenama tempatan dan komuniti kreatif. 

“Dengan mengaktifkan runcitan lapangan terbang sebagai sebahagian daripada perjalanan, kami memperkukuh peranan lapangan terbang sebagai gerbang yang menghubungkan pelancongan, perniagaan dan identiti Malaysia, selaras dengan aspirasi kami untuk meletakkan Malaysia sebagai negara paling berhubung di rantau Asia Pasifik,” jelasnya.

Pada 2025, Malaysia Airports merekodkan 104.5 juta pergerakan penumpang di seluruh rangkaian lapangan terbang tempatan, menyumbang kepada prestasi runcitan yang stabil dengan kira-kira 44 juta resit transaksi menunjukkan peningkatan sebanyak 28.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Jualan makanan dan minuman pula menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus tahun ke tahun, manakala kategori hadiah dan cenderamata melonjak 42 peratus, termasuk sumbangan 33 peratus daripada jenama tempatan dalam kategori coklat dan konfeksi.

 

Image
Malaysia Airports, ShopLAH 2026 - Malaysia Airports
Alana Dunsmore memperagakan beg bebas cukai edisi terhad dengan rekaan khas artis tempatan Malaysia. - Foto Malaysia Airports

 

Sebagai sebahagian pendekatan berasaskan pengalaman, ShopLAH turut menampilkan beg lipat bebas cukai edisi terhad hasil kolaborasi artis tempatan Hsieying, Kideika, Daisy Dalia dan Afi Sulaiman. Rekaan berunsur budaya, warisan dan makanan tempatan itu berfungsi sebagai cenderamata lestari untuk pelawat.

Selain ShopLAH, Malaysia Airports melaksanakan pelbagai inisiatif pengalaman termasuk LEGO Let’s Go Malaysia 2026 dengan kerjasama Lego dan RIMBA di KLIA Terminal 1, serta kempen Licence to Win bagi menyokong rakan niaga dan merancakkan ekonomi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Must Watch Video