PHNOM PENH: Cef, penanam rempah, pengusaha makanan artisan dan usahawan Kemboja berganding bahu dalam usaha mengangkat masakan Khmer serta rempah ratus tempatan yang masih kurang dikenali menjadi jenama bertaraf antarabangsa.
Usaha itu bukan sahaja bertujuan memperkenalkan wajah baharu Kemboja menerusi warisan makanannya, malah membuka lebih banyak peluang eksport kepada petani, meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar dan memperkukuh identiti negara di pasaran global.
Aspirasi berkenaan diketengahkan menerusi Pameran Perdagangan Pasaran Makanan Kemboja 2026 selama tiga hari di Pusat Pameran Diamond Island, Phnom Penh yang bermula pada Jumaat.
“Ekspo ini amat penting untuk mempromosikan produk Khmer serta menghimpunkan cef, pengeluar dan usahawan bagi bersama-sama membangunkan jenama makanan Kemboja untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Pada masa ini, kira-kira 70 hingga 80 peratus produk makanan yang dijual di Kemboja ialah barangan import.
"Kami mahu meningkatkan bahagian produk keluaran tempatan kepada sekitar 30 peratus supaya lebih banyak nilai ekonomi kekal dalam negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Almond Hospitality Luu Meng kepada Bernama.
Kemboja yang memiliki iklim tropika sesuai menghasilkan pelbagai produk pertanian berkualiti tinggi, termasuk lada, gula kabung, serai, lengkuas, kunyit, bunga lawang dan kayu manis.
Negara itu menghasilkan antara 17,000 hingga 20,000 tan metrik lada setahun, dengan nilai eksport rempah berkenaan mencecah kira-kira AS$31 juta (RM127 juta) tahun lepas.
Antara produk pertanian premium negara itu ialah lada Kampot yang terkenal dengan aroma dan rasanya.
Namun, di sebalik potensi besar itu, produk makanan Kemboja masih berdepan cabaran untuk menembusi pasaran antarabangsa dan sering dibayangi jenama lebih mapan dari negara jiran di Asia Tenggara.
Di pasaran domestik pula, pasar raya banyak dikuasai barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) import, sekali gus mengehadkan ruang kepada pengeluar tempatan.
Laporan International Development Enterprises (iDE) bertajuk “SMEs and Food Processing Markets in Cambodia” yang diterbitkan pada Januari 2022 mengenal pasti beberapa kelemahan struktur yang menghambat perkembangan industri itu.
Kajian berkenaan mendapati sektor pemprosesan makanan Kemboja masih di peringkat awal dan berdepan kekurangan kepakaran teknikal, pembangunan produk yang lemah serta sistem penyimpanan dan pembungkusan yang tidak mencukupi.
Sektor itu turut berdepan sokongan industri yang terhad bagi mesin pemprosesan makanan, penyelenggaraan dan ujian makanan.
Kekangan berkenaan menyukarkan perniagaan tempatan, yang kebanyakannya perusahaan milik keluarga dengan kemampuan kewangan terhad, untuk bersaing dengan pengeluar serantau berskala besar.
Penganjur berkata pameran itu dirangka bagi membantu menangani cabaran dengan memberi pendedahan kepada pengeluar tempatan mengenai piawaian antarabangsa, teknologi moden dan amalan terbaik industri.
“Ekspo ini akan memberi pendedahan kepada perniagaan mengenai piawaian keselamatan makanan, amalan kebersihan dan pensijilan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), supaya produk mereka mampu bersaing di pasaran global,” kata Luu Meng, yang juga usahawan serta cef terkenal Kemboja.
Beliau berkata industri pemprosesan makanan Kemboja mempunyai asas yang kukuh untuk bergerak ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai dengan memproses hasil pertanian mentah menjadi produk premium berjenama yang mempunyai nilai eksport lebih tinggi.
Ekspo itu mempamerkan pelbagai produk termasuk hasil pertanian segar, makanan diproses dan dalam tin, barangan FMCG, minuman, tekstil serta barang kemas buatan tangan, sekali gus mengetengahkan kepelbagaian perusahaan kecil dan sederhana Kemboja.
-- BERNAMA