Skip to main content

Malaysia

Ringankan beban wanita berkerjaya

TB_RAHIMAH IBRAHIM BABY_UPM
Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim berkata, keadaan itu antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam memahami penurunan kadar kelahiran di Malaysia.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Peningkatan penyertaan wanita dalam bidang pendidikan dan pekerjaan tidak semestinya mengubah pembahagian tanggungjawab penjagaan dalam keluarga, yang masih banyak tertumpu kepada wanita.

Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Prof Madya Dr Rahimah Ibrahim berkata, keadaan itu antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam memahami penurunan kadar kelahiran di Malaysia.

"Ada satu teori yang menjelaskan fenomena ini dengan satu teori yang dipanggil teori ekuiti gender.

"Teori dia begini, kadar kelahiran kita akan jatuh paling mendadak dalam masyarakat di mana wanita sudah mencapai kesetaraan dalam pendidikan dan pekerjaan, tetapi jagaan di rumah masih tidak berubah.

"Maksudnya, kesetaraan itu dirasakan dalam bidang pendidikan dan juga di sektor pekerjaan, tetapi dari segi keluarga ataupun jagaan di rumah masih lagi tidak berubah dan itulah keadaan kita sekarang.

"Wanita Malaysia hari ini melebihi lelaki dari segi kemasukan ke universiti. Jadi, mereka pun dah mula menyertai pasaran kerja dalam jumlah yang agak tinggi berbanding yang satu masa dahulu tetapi kajian juga mendapati bahawa wanita kita masih melakukan 60 peratus kerja penjagaan di rumah berbanding dengan lelaki," katanya dalam program Agenda AWANI yang disiarkan pada Selasa.

Tambah beliau, apabila tanggungjawab penjagaan anak dan rumah masih banyak ditanggung wanita, setiap pertambahan anak boleh dilihat sebagai pertambahan beban kepada mereka.

"Bila seseorang wanita tahu bahawa setiap anak tambahan akan ditanggung hampir sepenuhnya oleh dirinya, secara rasionalnya, keputusan untuk menambah anak itu dilihat agak tidak rasional kerana beban itu akan tertumpu kepada dia.

"Jadi, kadar kelahiran jatuh paling mendadak apabila wanita sudah setara di universiti dan di tempat kerja, tetapi beban di rumah masih ditanggung seorang diri," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, purata usia wanita ketika berkahwin kali pertama meningkat daripada 23.5 tahun pada 1980 kepada hampir 28 tahun pada 2020.

Katanya, tempoh pendidikan yang semakin panjang, tempoh mendapatkan pekerjaan yang stabil serta tempoh mengumpul wang untuk membeli rumah dan membiayai majlis perkahwinan turut menyebabkan perkahwinan ditangguhkan.
 

Must Watch Video

Advertisement