PETALING JAYA: Modus operandi penipuan dalam talian kini dikesan beralih menggunakan perkhidmatan pemesejan seperti Rich Communication Services (RCS) dan iMessage sebagai medium menyebarkan pautan pancingan data atau phishing susulan penguatkuasaan sekatan hiperpautan dalam khidmat pesanan ringkas (SMS).
Timbalan Pengarah Telekomunikasi Fraud Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Selangor Mohd Amirul Hakim Abdul Rahim berkata peralihan itu dikesan memandangkan perkhidmatan berkenaan masih membolehkan penghantaran hiperpautan yang boleh digunakan bagi tujuan phishing kepada pengguna.
Selain RCS dan iMessage, pautan phishing turut disebarkan menerusi perkhidmatan over-the-top (OTT) seperti WhatsApp dan Telegram.
“Bagi SMS, MCMC telah menguatkuasakan ketetapan kepada pihak telco (telekomunikasi) supaya tidak membenarkan hiperpautan, permintaan untuk menghubungi semula nombor atau meminta maklumat peribadi menerusi SMS rasmi… jadi, mereka (scammer) beralih kepada RCS dan iMessage.
“Sehubungan itu, MCMC akan mengadakan libat urus dengan penyedia platform berkenaan bagi melihat langkah yang boleh dilaksanakan, termasuk pendekatan seumpama sekatan yang telah dilaksanakan bagi SMS,” katanya ketika menjadi panel Forum Nasional Scam Digital: Ancaman Keselamatan Kewangan Negara dan Keldai Akaun di sini pada Khamis.
Forum berkenaan diadakan sempena Program Nasional Kesedaran Anti-Scam 2026 yang dirasmikan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Selain wakil MCMC, forum itu turut menampilkan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor SAC Mohamad Rosni Mohamed Lazim dan Timbalan Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat BNM (JLPB) Hasjun Hashim sebagai ahli panel.
Dalam pada itu, Mohd Amirul berkata bagi kandungan yang disyaki mempunyai unsur penipuan seperti pelaburan tidak sah atau penyamaran sebagai institusi kewangan, MCMC akan membuat pengesahan dengan agensi berkaitan sebelum tindakan sekatan atau penurunan kandungan dilaksanakan.
Beliau berkata kes berkaitan pelaburan akan dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), manakala kes melibatkan perbankan akan melalui pengesahan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) atau institusi perbankan berkaitan.
“Jika kandungan atau akaun berkenaan disahkan mempunyai kaitan dengan penipuan, tindakan sekatan akan diambil terhadap saluran terbabit termasuk perkhidmatan pemesejan, selular atau SMS bagi menghalangnya daripada terus sampai kepada pengguna,” katanya.
Sementara itu, Hasjun mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap modus operandi sindiket penipuan yang memperdaya individu untuk membuka syarikat sebagai sebahagian daripada taktik berkaitan akaun keldai.
Beliau berkata pembukaan akaun secara dalam talian, khususnya bagi bank digital, tertakluk kepada proses elektronik Kenali Pelanggan Anda (e-KYC) bagi mengesahkan identiti pemohon, termasuk menerusi dokumen pengenalan diri dan pengesahan wajah.
“Sekarang modus operandi mereka adalah menyuruh (mangsa) membuka syarikat. Bagi bank digital, pembukaan akaun memang dilakukan secara dalam talian kerana mereka tidak mempunyai cawangan, tetapi ada proses yang perlu dilakukan menerusi e-KYC.
“Proses itu adalah untuk memastikan individu yang membuka akaun benar-benar orang berkenaan dan sepatutnya proses tersebut sangat ketat,” katanya.
Hasjun berkata individu yang mendapati akaun bank dibuka tanpa kehadiran atau kebenaran mereka perlu membuat aduan kepada bank berkenaan bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap proses pembukaan akaun itu.
Beliau berkata setiap bank dan syarikat insurans mempunyai unit aduan khusus bagi mengendalikan kes yang tidak dapat diselesaikan di peringkat cawangan atau pusat perkhidmatan.
“Sekiranya tidak mendapat jawapan yang memuaskan atau tidak menerima jawapan daripada bank selepas 14 hari, bolehlah datang ke Bank Negara,” katanya.
-- BERNAMA