Inisiatif Astro AWANI yang membuka ruang kepada pelajar sekolah untuk menghasilkan karya kreatif mereka untuk disiarkan terus mendapat sambutan.

Paling menarik apabila peluang tersebut turut mendapat perhatian Sekolah-Sekolah Khas yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik.

Menerusi platform AWANIJr, Astro AWANI baru-baru ini menerima bingkisan video kiriman daripada Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu.

Amat menarik apabila kanak-kanak yang dikategorikan orang kelainan upaya ini turut mampu menghasilkan video dan penceritaan yang menarik.


Astro AWANI menerima video pendek yang dihoskan oleh Nur Adriana Ab. Murad yang mempunyai masalah penglihatan B1 iaitu tahap buta sepenuhnya.

Kisah kecekalannya bersama rakan-rakan buat pertama kalinya dipertontonkan kepada khalayak ramai.

Video tersebut menceritakan bagaimana pelajar kelainan upaya sepertinya mengharungi pembelajaran di Sekolah Khas.

Video berdurasi 2 minit 22 saat itu mengisahkan susah payah pelajar-pelajar ini yang perlu membantu antara satu sama lain ketika berada disekolah terutamanya membabitkan mereka yang mengalami masalah penglihatan.

Kisah penceritaan itu agak menyentuh penonton kerana selama ini tidak ramai yang mengetahui perit jerih mereka ketika berada di sekolah yang berbeza daripada sekolah-sekolah biasa.

Dalam video tersebut juga turut dipertontonkan ketabahan tenaga pengajar yang begitu sabar dan berdedikasi sepanjang mendidik kanak-kanak daripada golongan istimewa itu.


*AWANIJr merupakan inisiatif terbaharu Astro AWANI dalam menggalakkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah untuk menyumbang kreativiti mereka dalam bentuk penulisan dan multimedia.