Uptown Kota Samarahan menjadi lokasi tumpuan pelajar untuk berkumpul dan beramah mesra.

Kedudukannya yang strategik di tengah tiga buah Institusi Pengajian Tinggi iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Institusi Perguruan Tun Abdul Razak menjadikannya lokasi penting pelajar mendapatkan makanan.

Tidak kurang dengan itu, ada yang memanfaatkannya untuk mencari pendapatan sampingan.

Menurut penjual nasi ayam warga UNIMAS yang tidak mahu namanya dikenali, peluang berniaga di Uptown Kota Samarahan dimanfaatkan sebaiknya.

"Saya berniaga di Uptown ini untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

"Di samping itu, saya sememangnya minat untuk berniaga, jadi pengalaman ini penting bagi melancarkan perancangan perniagaan saya apabila sudah menjadi graduan kelak," katanya.

AWANI Rangers sempat bertanyakan bahawa adakah dengan berniaga akan mengganggu masa belajarnya.

"Bagi saya, ia tidak mengganggu masa saya untuk saya fokus terhadap pelajaran saya, kerana bagi saya berniaga ini hanya pada hujung minggu, sesuai dengan masa Uptown ini beroperasi iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad," ujarnya.

Malah, dia turut menegaskan tentang pentingnya pengurusan masa yang bijak.

"Bukankah pengurusan masa itu penting? Seorang pelajar haruslah bijak membahagikan masa agar senang melakukan pelbagai perkara, di samping boleh dimanfaatkan apabila sudah berada dalam pasaran kerja kelak," katanya lagi.

Selain nasi ayam, antara barangan makanan lain yang turut menjadi perhatian pengguna di Uptown Kota Samarahan ialah Nasi Kerabu, Pau, Pisang Goreng dan Nasi Bajet.

Rata-rata pelajar yang mengunjungi Uptown ini berpuas hati dengan harga barangan yang dijual malah sesuai dengan situasi kewangan semasa.


*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Mohammad Rezza Abdullah Bahida dari Universiti Malaysia Sarawak.

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

***Awani Rangers UNIMAS ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Malaysia Sarawak.