DENGAN ketinggian lebih dari 300 meter (1,000 kaki) menghadap tebing dan kawasan pergunungan yang diilhamkan daripada suasana dalam filem blockbuster "Avatar", lif luar bangunan tertinggi di dunia ini mengalu-alukan pelancong yang berani untuk menikmati pemandangan yang menakjubkan.

Lif di Taman Hutan Zhangjiajie di China ini bergerak dan tiba di tingkat paling atas hanya dalam 88 saat, sekaligus menjadi tarikan pelancongan domestik semakin pulih, susulan wabak COVID-19 yang mula reda di negara itu.

Ia membawa pelancong ke kawasan puncak yang diilhamkan dari rimba fiksyen Pandora, yang menjadi kediaman puak Na'vi, seperti yang terdapat dalam filem arahan James Cameron itu.

"Struktur geologinya sangat sesuai untuk diletakkan lif sebagai alat pengangkutan.

"Sebelum ini, hanya ada kereta kabel dengan kapasiti terhad, jadi pelancong harus menunggu lama," kata Liu Jie, pengarah syarikat yang menguruskan lif berkenaan.

Selain lif, pelancong juga boleh memilih untuk naik ke puncak dengan berjalan kaki yang akan mengambil masa tiga jam.

Harga tiket untuk menggunakan lif tersebut ialah 129 yuan atau kira-kira RM80.

Sebelum COVID-19, kira-kira 14,000 pelancong datang dan menaiki lif setiap hari, namun ia kini berkurangan menjadi 8,000 sahaja setiap hari.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !