GAYA HIDUP
Pelangi Beach Resort & Spa Langkawi tampil wajah baharu, kekal sentuhan tradisional

Pemandangan udara Pelangi Beach Resort & Spa Langkawi memperlihatkan kedudukan strategik kolam renang 'Horizon Pool' yang bersambung secara langsung dengan pantai, menawarkan pengalaman santai yang menyatu dengan keindahan alam semula jadi.
LANGKAWI : Terletak di pesisir Pantai Cenang yang memukau, Pelangi Beach Resort & Spa Langkawi merupakan antara resort paling ikonik dan bersejarah di pulau legenda ini.
Dengan usia mencecah 36 tahun, resort seluas 35 ekar itu bukan sekadar tempat penginapan tetapi sebuah pengalaman yang mengekalkan elemen budaya Melayu tradisional dengan sedikit sentuhan kontemporari pada seni binanya.
Hanya 10 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA), lokasinya yang strategik menjadikannya pilihan utama pelancong dari dalam dan luar negara.
Kru Astro AWANI baru-baru ini diberi peluang merasai sendiri pengalaman tersebut.Pengurus Besarnya, Neoh Kean Boon ketika ditemui berkata, sejak penubuhannya, Pelangi telah menyaksikan pelbagai acara penting.

Pengurus Besar Pelangi Beach Resort & Spa Langkawi, Neoh Kean Boon berkata pengalaman dan keselesaan ditawarkan Pelangi kepada pengunjung membuatkan mereka sering mempertimbangkan untuk kembali.
“Ini termasuk Langkawi International Dialogue (LID), Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang pertama, dan mesyuarat-mesyuarat Komanwel.
“Pada edisi LIMA terbaru, resort ini turut menjadi lokasi penginapan beberapa orang kenamaan negara.
“Pelangi juga menjadi tuan rumah tahunan acara antarabangsa seperti Ironman Langkawi, selain menerima tetamu korporat untuk program MICE dan team building berskala besar,” ujarnya.

Garden Terrace Room
Sentuhan tradisional Melayu dalam kemewahan
Pelangi menampilkan 355 bilik yang terletak dalam 51 chalet berkembar dua tingkat, dikelilingi landskap tropika yang subur.
Reka bentuk berkonsepkan kampung Melayu kekal sebagai identiti resort ini.
“Walaupun telah menjalani proses pengubahsuaian besar dalam tempoh dua setengah tahun lalu, elemen luaran chalet dikekalkan bagi mengekalkan keaslian konsep perkampungan.
“Penambahbaikan termasuk bilik tetamu, lobi utama, gimnasium, spa, kelab kanak-kanak (Kiki Club), dua kolam renang serta kemudahan konvensyen.
“Kolam utama Horizon Pool direka mesra keluarga dengan ciri-ciri permainan kanak-kanak, manakala kolam kedua berbentuk segi empat pula sesuai untuk renangan santai secara bersendirian,” ujar Kean Boon.
Katanya lagi, selain fasiliti tersebut, ladang mini (Kiki Farm) yang menempatkan kambing, ayam, arnab, angsa dan merak, menjadikan Pelangi unik berbanding resort lain di Langkawi.

Kiki Club
Ke arah kelestarian
Ketika ditanya mengenai usaha mengekalkan konsep kelestarian di Pelangi, Kean Boon berkata, pelbagai inisiatif dipergiat.
“Usaha yang dijalankan termasuk pembinaan kebun sayur dan ladang mini sebagai sebahagian daripada inisiatif hijau.
“Walaupun belum sepenuhnya lestari, resort ini sedang melaksanakan inisiatif tersebut secara berperingkat dengan matlamat jangka panjang yang jelas,” kata beliau.

Seaview Room
Pengalaman gastronomi merentas benua
Ketika berada di Pelangi, antara pengalaman yang paling meninggalkan kesan buat kru Astro AWANI adalah saat menikmati hidangan sarapan pagi.
Aroma deretan makanan yang bersilang mesra, dari cita rasa yang merangkul selera global hingga juadah warisan tempatan, benar-benar membuatkan kami ‘rambang mata’.
Setiap hidangan tampak begitu menyelerakan, disempurnakan pula dengan susun atur buffet yang moden dan bersih.
“Pelangi menawarkan dua restoran utama: Spice Market yang menyajikan masakan tempatan seperti nasi lemak dan rendang, serta Pelangi Grill yang terletak di tepi pantai dengan sajian berasaskan gril berkonsepkan Latin,” ujar Kean Boon.
Kedua-dua restoran itu memberi fleksibiliti kepada tetamu untuk menikmati hidangan mengikut cita rasa peribadi.
Kualiti perkhidmatan berteraskan pengalaman
Pengalaman yang ditawarkan kepada pengunjung di Pelangi juga dipengaruhi oleh pengalaman kakitangannya.
Untuk rekod, kata Kean Boon, lebih 20 peratus daripada kakitangan Pelangi telah berkhidmat sejak resort ini mula beroperasi.
“Tidak hairanlah hampir 25 peratus tetamu terdiri daripada pelanggan berulang, khususnya dari United Kingdom, yang kembali dua hingga tiga kali setahun kerana pengalaman layanan yang tidak dilupakan,” ujarnya.

Couple Treatment Room
Kenapa Pelangi masih relevan?
Sebelum mengakhiri temu bual, kami sempat bertanya kepada Kean Boon apa yang membuatkan Pelangi kekal relevan dan menjadi pilihan pengunjung walaupun telah beroperasi lebih tiga dekad.
“Jika dirangkumkan dalam tiga perkataan, Pelangi adalah: unik, santai dan lengkap,” katanya.
Sama ada untuk urusan korporat atau percutian keluarga, Pelangi menawarkan pengalaman yang serba lengkap.
Dengan lebih 90 peratus proses pengubahsuaian telah disiapkan, fokus utama resort kini adalah memperkenalkan wajah baharu kepada dunia.
“Ramai masih ingat Pelangi sebagai resort yang bernuansa malap tetapi sekarang, kita sudah berubah. Tak terlalu moden, tapi cukup selesa dengan sentuhan baru,” ujar Kah Boon, yang kini memasuki tahun kedua perkhidmatannya sebagai pengurus resort.
Dari keindahan matahari terbenam di Pantai Cenang hingga keramahan kakitangan, Pelangi tentunya menimbulkan kerinduan kepada mereka yang pernah berkunjung.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi di www.pelangiresort.com atau mana-mana platform tempahan dalam talian.

Family Room
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami